MahkamahNasional

Tenaga pengajar pusat tahfiz dihadap ke mahkamah guna dokumen palsu

SEORANG tenaga pengajar pusat pengajian agama didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah semalam atas tuduhan menggunakan dokumen palsu dalam urusan rasmi membabitkan pusat pengajian terbabit enam tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Idrus Ahmad@Ab Kadir, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen iaitu ‘Cabutan Minit Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pengurusan Maahad Tahfiz Intan Sungai Petani Kali Ke-8’ yang palsu dalam urusan rasmi.

Mohd Idrus didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Peguam Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co pada 15 September 2015.

Berikutan itu, ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Saiful Izham Ramli.

Saiful dalam rayuan bagi anak guamnya memohon jaminan lebih ringan dikenakan berikutan anak guamnya hadir sendiri ke mahkamah selain menetap di Kedah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dan seorang penjamin ke atas tertuduh dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Ogos depan. – SM

 

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button