Nasional

PKPB: Bekalan makanan mencukupi, peniaga diberi amaran jangan naikkan harga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan dan barang keperluan lain mencukupi di daerah Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah serta Klang, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula tengah malam tadi.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, penduduk di kawasan terbabit diminta tidak melakukan pembelian panik kerana tiada keperluan mereka menyimpan barangan berlebihan kerana keadaan terkawal dan bekalan mencukupi.

“Pembelian panik hanya akan menyebabkan bekalan barangan habis lebih cepat di sesuatu premis daripada sepatutnya sementara menunggu pengisian semula barangan yang berkaitan di premis tersebut.

“Pembelian panik juga akan mengundang pelbagai masalah sampingan kepada pengguna itu sendiri dan orang dari segi perbelanjaan isi rumah dan pembaziran disebabkan tarikh luput sesuatu barangan yang dibeli tanpa penelitian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Alexander, seperti pengalaman semasa PKP lalu, ianya bersifat sementara sahaja disebabkan pekedai tidak menyimpan stok yang banyak di premis dan menunggu masa pembekal menghantar stok yang baharu.

Jelasnya, beliau juga yakin tidak akan berlaku gangguan bekalan kerana tiada sekatan untuk kenderaan komersial.

“Disebabkan PKPB kali ini hanya membabitkan kawasan yang terhad dan Kementerian Pengangkutan juga sudah memberi jaminan bahawa semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa, saya yakin tiada gangguan bekalan yang akan berlaku.

“Justeru, saya meminta semua pihak supaya kekal bertenang dan bersikap rasional,” ujarnya.

Jelasnya, peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan.

Tambahnya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga akan sentiasa berada di lapangan untuk memantau dan menilai keadaan, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya dengan segera. -SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button