Ekonomi

Libat Urus BNM bersama pihak berkepentingan sempena penyiaran penerbitan utamanya

Bank Negara Malaysia (BNM) menganjurkan beberapa sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak 20 Mac 2024 bersempena dengan penerbitan Laporan Tahunan 2023 (Annual Report 2023, AR 2023),

Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 (Economic and Monetary Review 2023, EMR 2023) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 (Financial Stability Review for the Second Half 2023, FSR 2H 2023).

Libat urus ini bertujuan untuk membuat perkongsian mengenai penilaian BNM  berhubung dengan ekonomi dan sektor kewangan Malaysia serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan BNM. Libat urus ini melibatkan kementerian dan agensi Kerajaan, kor diplomatik, industri perbankan, insurans dan takaful serta pembayaran, ahli ekonomi, penganalisis perbankan dan pengurus dana, perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga media.

Beberapa isu penting yang dibincangkan adalah seperti yang berikut:

Pertumbuhan dan inflasi

Pihak berkepentingan utama membincangkan tentang prospek pertumbuhan dan inflasi bagi Malaysia tahun ini serta tindakan yang mungkin diambil oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC).

• BNM menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka antara 4% hingga 5% pada tahun 2024, disokong oleh perbelanjaan dalam negeri yang meningkat dan pemulihan eksport. Prospek pertumbuhan ini disokong oleh pihak penganalisis seperti yang dicerminkan dalam unjuran pertumbuhan dan penilaian masing-masing.
• BNM menjangkakan bahawa inflasi keseluruhan akan berpurata antara 2% hingga 3.5% pada tahun 2024. Julat unjuran yang lebih luas mengambil kira beberapa kesan inflasi semakin tinggi berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi. Kesan keseluruhan ke atas inflasi akan bergantung pada magnitud dan pengaturan masa pelarasan harga
bahan api serta langkah-langkah sokongan seperti pindahan wang tunai bersasar. BNM membuat perkongsian bahawa bagi tempoh jangka pendek, rasionalisasi subsidi boleh memberikan kesan pada penggunaan swasta. Walau bagaimanapun, hal ini sebahagiannya akan dikurangkan oleh bantuan bersasar daripada Kerajaan.

• Dasar monetari akan terus berpandangan ke hadapan dan berdasarkan maklumat penilaian MPC mengenai prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

• Trajektori pertumbuhan yang positif dan inflasi yang sederhana pada tahun ini membuka peluang bagi pelaksanaan pembaharuan struktur. Pendekatan yang lebih bersasar untuk subsidi bahan api adalah sangat
penting untuk membantu mengurangkan kesan kos sara hidup ke atas rakyat. Pendekatan ini bukan sahaja memastikan bantuan disediakan kepada mereka yang memerlukan, malah penjimatan kos daripada
rasionalisasi subsidi bahan api ini akan mewujudkan ruang fiskal yang sangat diperlukan untuk pelaburan penting bagi inisiatif kesihatan, pendidikan dan infrastruktur awam.

Ringgit
Perbincangan berhubung dengan ringgit tertumpu pada penilaian BNM mengenai prestasi ringgit dan alat yang boleh digunakan untuk memberikan sokongan, termasuk sama ada BNM akan membuat pertimbangan untuk
menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR).

Berhubung dengan prestasi ringgit, BNM menegaskan bahawa pada masa ini ringgit berada di bawah nilai saksama. Kenaikan kadar dasar yang lebih besar di negara-negara lain berbanding dengan Malaysia
merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan penurunan nilai ringgit.

Dalam tempoh jangka panjang, kadar pertukaran adalah berteraskan asas-asas dalam negeri. Daripada aspek ini, asas-asas ekonomi Malaysia adalah kukuh. Hal ini terbukti menerusi penunjuk ekonomi utama pada tahun 2023 dan unjuran bagi tahun 2024.

Pelaksanaan pelan-pelan peringkat nasional dan pembaharuan struktur lain secara berkesan akan memperkukuh daya saing dan keupayaan pengeluaran Malaysia, lantas memberikan sokongan yang berpanjangan terhadap ringgit.

Pada masa hadapan, pihak penganalisis turut menjangkakan bahawa nilai ringgit akan meningkat berikutan kesan faktor-faktor global yang semakin reda.

• BNM menegaskan bahawa OPR bukan alat untuk menguruskan kadar pertukaran ringgit. Sebaliknya, BNM telah dan akan terus mengambil langkah-langkah bersepadu untuk menguruskan tekanan jangka pendek ke atas ringgit. Hal ini termasuk meningkatkan lagi usaha bagi menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan yang diperolehi syarikat berkaitan kerajaan (government-linked corporations, GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment corporations, GLIC), menggiatkan libat
urus BNM dengan syarikat dan pelabur serta terus memantau amalan pengimport dan pengeksport tempatan serta berbincang dengan mereka berhubung dengan sebarang trend luar biasa yang diperhatikan.

BNM turut menjelaskan bahawa GLC dan GLIC tidak dikehendaki untuk mencairkan pelaburan asing mereka bagi membawa balik hasil pertukaran asing ke Malaysia. Sebaliknya, BNM menggalakkan mereka untuk membawa balik pendapatan pelaburan pertukaran asing yang telah diperoleh secara lebih berkala. BNM mengalu-alukan pengakuan dan sokongan oleh Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Persatuan Pengusahaan-Pengusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Small and Medium Enterprises Association of Malaysia, SAMENTA) untuk menjadi sebahagian daripada pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) yang diperlukan bagi memastikan kestabilan ringgit.

BNM menggalakkan semua pihak untuk turut memberikan sokongan yang sama.

• BNM juga menjelaskan bahawa rizab antarabangsa Malaysia mencukupi dan memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek setakat 15 Mac 2024. Rizab antarabangsa BNM boleh digunakan sekiranya perlu. Walau bagaimanapun, BNM terus melakukan tindakan ini sewajarnya. Selain itu, desentralisasi rizab antarabangsa Malaysia yang dilakukan sejak sekian lama telah menghasilkan pengumpulan aset luaran bukan rizab yang agak besar. Bank-bank dan syarikat-syarikat
korporat tempatan memegang lebih tiga perempat daripada aset luar negeri Malaysia. Aset ini boleh digunakan untuk memenuhi obligasi hutang jangka pendek mereka tanpa perlu membuat tuntutan terhadap rizab antarabangsa. Pembaharuan struktur Kebanyakan pihak berkepentingan utama berminat untuk memahami mekanisme, turutan dan pengaturan masa pelaksanaan pembaharuan struktur oleh Kerajaan.

• BNM memaklumkan bahawa Kerajaan jelas tentang agenda pembaharuannya. Hal ini termasuk pembaharuan strategik yang digariskan dalam dokumen dasar utama seperti Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspirations, NIA), Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industry Master Plan, NIMP) 2023 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR). Beberapa langkah pembaharuan telahpun atau sedang dilaksanakan. Pelaksanaan ini termasuk pelarasan tarif elektrik dan pelupusan had harga tertinggi ke atas barangan seperti ayam.

• Lebih daripada itu, BNM menyokong sepenuhnya pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan melalui pembaharuan pasaran pekerja serta pemantapan program perlindungan sosial yang merupakan pembaharuan struktur penting yang diperlukan di Malaysia. Pelaksanaan pembaharuan ini akan meningkatkan daya saing Malaysia, memastikan pertumbuhan yang lebih mampan serta meningkatkan taraf hidup di negara ini. Pihak berkepentingan utama juga bersetuju dengan kepentingan pelaksanaan pembaharuan struktur yang  berkesan dan kesan seterusnya pada pertumbuhan ekonomi dan ringgit.

(Visited 60 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button