fbpx


Nasional

Polis boleh guna budi bicara benar perjalanan lebih 10km

POLIS dibenar menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan lebih 10 km bagi mendapatkan barangan makanan mahupun perubatan sekiranya terdapat keperluan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk perjalanan merentasi negeri walaupun sebelum ini peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua mengehadkan perjalanan haruslah tidak melebihi 10 kilometer.

“Semalam, kita ada individu yang ingin mendapatkan perubatan, tetapi hospital lebih 10km jadi mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana sedangkan kesihatan adalah perkara utama yang diberi perhatian kerajaan sehingga kita perkenalkan PKP untuk jaga kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Pada 1 April lalu, BERNAMA juga melaporkan bahawa Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berkuat kuasa mulai tarikh itu sehingga 14 April menetapkan had perjalanan individu yang keluar rumah dalam tempoh itu bagi tujuan dibenarkan adalah dalam radius tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman.


Menurut peraturan itu, yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), individu tersebut juga tidak boleh disertai orang lain kecuali dengan alasan munasabah.

“ Peraturan itu melibatkan arahan kawalan pergerakan iaitu tiada seorang pun boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain,” menurut peraturan itu.

Seseorang hanya boleh bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain bagi tujuan tertentu.

Ia termasuk untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet; membekalkan atau menghantar makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet; mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan; melaksanakan apa-apa tugas rasmi atau melaksanakan apa-apa tugas berhubung dengan sebarang perkhidmatan perlu.

Menurut peraturan itu, jika seseorang bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain dalam kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan lain bagi tujuan membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet, pergerakannya hanya dalam radius yang tidak melebihi 10 km dari kediamannya, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya, dan tidak boleh disertai orang lain, melainkan jika ada sebab munasabah.

Untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan pula, pergerakan boleh disertai orang lain, tetapi juga dalam radius yang tidak melebihi 10 km dari kediaman, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya.

Bagi tujuan melaksanakan tugas rasmi, seseorang individu hendaklah mengemukakan surat kebenaran daripada majikannya jika dikehendaki oleh penguat kuasa dan untuk melaksanakan tugasnya berhubung dengan apa-apa perkhidmatan perlu, individu itu juga perlu mengemukakan surat kebenaran daripada majikannya jika dikehendaki.

Bagi mengawal pergerakan orang yang membeli makanan, peraturan itu menetapkan pemunya atau pengendali, atau orang yang bertanggungjawab bagi suatu perniagaan menjual makanan hendaklah menjalankan perniagaan hanya secara pandu lalu, bawa pulang atau penghantaran.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button