Nasionalpilihan

Lelaki maut tertiarap disangka bergurau

Kegembiraan lapan sekeluarga mandi-manda dan berkelah di pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka semalam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka tiba-tiba rebah dalam air dan meninggal dunia.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu mangsa, SVK Baskaran, 52, disedari rebah tertiarap di dalam air oleh ahli keluarganya sebelum mereka menjerit meminta pertolongan.

Anggota Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah, Mohd Fitri Abdul Hanif yang bertugas di Menara Pertahanan Awam berkata, dia bersama tiga anggota bergegas ke lokasi untuk memberikan bantuan dan mendapati mangsa sudah dibawa naik ke daratan oleh ahli keluarganya.

Menurutnya, ketika memeriksa dia mendapati mulut mangsa berbuih dan turut memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan, namun tiada tindak balas.

“Pada masa sama kami menghubungi ambulans untuk bantuan dan pihak Kesihatan dari Kuala Sungai Baru yang tiba turut membuat CPR.

“Namun tiada tindak balas sebelum pegawai kesihatan terbabit mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Fitri berkata, keluarga terbabit tiba di pantai itu sekitar 12 tengah hari dan ketika kejadian tidak ramai pengunjung dan air juga sedang surut.

Katanya, dia difahamkan pada mulanya ahli keluarga mangsa menyangkakan lelaki itu bergurau dengan kanak-kanak, namun selepas dia tidak memberikan reaksi ketika dipanggil, menyebabkan mereka mengesyaki sesuatu berlaku dan menjerit meminta pertolongan.

“Sebelum kejadian saya bersama anggota lain melakukan tugas rondaan di pantai seperti biasa bagi memastikan keselamatan pengunjung dan keadaan adalah terkawal,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

“Berdasarkan laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – SM

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button