Bola SepakSukan

Jurgen Klopp berusaha bendung air mata daripada mengalir keluar

JURGEN Klopp cukup beremosi sehingga hampir mengalirkan air mata sewaktu dia menjelaskan tentang kepulangan penyokong ke Anfield telah membuat bulu romanya meremang.
Pengurus Liverpool itu gagal menyembunyikan emosinya apabila mengakui bahawa dia sama sekali tidak menyedari perasaan yang dirasakan cukup bagus apabila mendengar lagu ‘You’ll Never Walk Alone’ dinyanyikan buat kali pertama dalam tempoh 270 hari di stadium.
Bercakap selepas skuad bimbingannya membelasah Wolves 4-0 menerusi persembahan yang memberi isyarat kepada pencabar Liga Perdana Inggeris, pengurus Liverpool itu berkata: “Sebaik kami masuk ke padang untuk memanaskan badan, kami sama sekali tidak tahu apa yang perlu dijangkakan, tetapi apabila kami masuk kami berasakan bulu roma kami berdiri.
“Apabila penyokong melihat pemain pertama mereka mula bersorak kuat dan kami semua terkelu ‘Oh Tuhanku, sorakan itu amat kuat kedengaran’. Ia begitu beremosi, selepas 10 bulan tanpa penyokong, ini merupakan satu petanda yang baik.”
Mohamed Salah dan Sadio Mane mempamerkan persembahan yang cukup menyengat, tetapi Klopp memuji aksi pasukannya yang bermain di depan 2,000 penyokong yang dibenarkan kembali ke stadium, apabila menegaskan prestasi yang ditunjukkan hampir menyamai sewaktu mereka merangkul gelaran pada musim lepas.
“Hampir. Dengan kehadiran peminat ia jelas berbeza. Kami bermain cemerlang menentang Arsenal, begitu juga sewaktu bertemu Chelsea, kami telah beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan, musim ini.
“Wolves gagal mendapatkan rentak permainan mereka malam ini (awal pagi waktu Malaysia) dan saya rasa ia berlaku disebabkan cara anak-anak buah saya bermain. Ia satu persembahan yang berada di tahap tinggi.
“Aksi mereka amat mengagumkan. Satu persembahan yang cemerlang. Bukankah ia satu aksi yang sempurna malam ini? Perlawanan, suasana sekeliling, ia cukup baik.
“Meremang bulu roma saya. Sangat bagus apabila mereka mula menyanyikan ‘You’ll Never Walk Alone’. Saya tidak pernah sedar, perasaan yang dirasakan cukup indah.
“Tanpa mengira keadaan cuaca di luar sana, dalam stadium pula matahari menyinar terang. Kami beraksi dengan amat baik dan saya gembira kami dapat mempamerkan persembahan seperti ini di hadapan penyokong
“Memang suasananya tidak sama tanpa peminat, jadi dapat menyaksikan kepulangan penyokong di sini, dan menghadiahkan sesuatu yang membolehkan mereka bersorak, ia memang cukup sempurna,” katanya.
Sementara Klopp terlalu gembira menyaksikan skuad bimbingannya kembali merampas kedudukan kedua dalam carta Liga Perdana, bos Wolves, Nuno Espirito Santo pula mengakui, pasukannya gagal bersaing pada pertemuan itu.
“Perlawanan malam ini amat sukar. Kami sepatutnya mampu menghadirkan banyak perbezaan, sebelum dan sewaktu perlawanan.
“Kami gagal menguasai bola. Kami gagal mengekang dengan baik asakan Liverpool,” ujarnya. – Mirror – SM

(Visited 110 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button