Politik

PN yakin pengundi Melaka buat keputusan bijak

Perikatan Nasional (PN) akan menyerahkan kepada pertimbangan bijaksana rakyat negeri Melaka untuk membuat pilihan dalam Pilihan Raya Negeri pada 20 November depan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya amat menyedari ramai rakyat negeri Melaka yang marah apabila negeri berkenaan terperangkap dalam kemelut politik yang merugikan.

“Kita akan umumkan calon-calon kita. Calon-calon yang kita akan ketengahkan ini adalah mereka yang berkelayakan, terdiri daripada orang muda lelaki dan wanita serta mewakili semua kaum. Saya jangka kita akan dapat sokongan pengundi Melaka,” katanya pada sidang akhbar selepas program Minum Petang Bersama Profesional Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam pada itu, berhubung kenyataan beberapa pemimpin Pas agar parti itu menggunakan logo sendiri bagi Pilihan Raya Negeri Melaka, Muhyiddin berkata, keputusan PN untuk semua parti komponen bertanding menggunakan logo PN adalah dibuat berdasarkan keputusan bersama.

“Saya serahkan kepada Pas untuk membuat keputusan, apa pun Pas nak putuskan, itu hak mereka, saya harap mereka berikan pertimbangan semasak-masaknya.

“Ini supaya strategi yang kita hadapi mempunyai kesepakatan dan kita tidak berhadapan situasi ketidak tentuan yang membawa kesan kepada penyertaan kita di Melaka,” katanya.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen, jelas beliau, perbincangan perkara tersebut masih berjalan dan akan diputuskan sebelum Hari Penamaan Calon pada 8 November depan.

“Kita setuju bertanding 28 kerusi, kalau pihak lain nak bertanding 28 kerusi, takkan kita nak bertanding 10 kerusi sahaja, soal menang kalah, soal lain sebab kita akan serahkan kepada orang Melaka untuk membuat pertimbangan bijaksana,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pihak memfitnahnya memberi wang kepada pengundi di Melaka, Muhyiddin berkata, perbuatan itu jelas sekali berniat jahat terhadapnya.

Jelasnya, gambar-gambar yang disebarkan dalam media sosial itu adalah gambar beliau menyerahkan baki wang kepada penduduk-penduduk Melaka yang membuat pembelian barang keperluan pada program Gerai Prihatin Rakyat.

“Sekarang ini banyak orang nak memfitnah kita walau apa pun niat baik kita, itu kita serahkan kepada Tuhan,” katanya.

Beliau memberitahu, program Gerai Prihatin yang telah dijalankan oleh Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sejak bulan Jun merupakan inisiatif yang harus dihargai kerana ia merupakan usaha untuk mengurangkan beban rakyat.

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button