Politik

Selesaikan isu transisi PM, Majlis Presiden PH forum terbaik

AHLI Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mahu isu berkaitan transisi peralihan jawatan perdana menteri dilakukan secara aman dan tertib dengan sebulat suara, meletakkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebagai forum terbaik.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui perkara berkenaan, terutama mengenai tempoh peralihan sememangnya sentiasa menjadi isu yang dibangkit pelbagai pihak.

“Ia (tempoh) pernah diungkap sebelum ini …ia bukan satu proses yang PKR kenakan ke atas PH. PKR sedar PKR adalah satu komponen dalam PH, wujudnya kerajaan atas gabungan, ia satu gabungan politik yang berlandaskan kepercayaan dan hormat.

“Jadi tak mungkin, adalah mustahil bagi PKR untuk sewenang-wenangnya kenakan (tempoh masa). Tetapi apakah kita nak sebut itu sebagai satu perkara yang hari-hari kita perlu cakap kepada media. Tidak, prosesnya ialah kita akan sampaikan melalui Majlis (Presiden) PH, itu ketetapan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulan MPP PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata mesyuarat MPP hari ini turut mengulangi ‘pengesahan’ keputusan yang dibuat Biro Politiknya, MPP dan kongres parti sebelum ini berkenaan kedudukan (Presiden PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sebagai calon parti untuk jawatan perdana menteri, sepertimana dimuktamadkan secara konsensus oleh PH pada 6 Jan 2018.

“MPP hari ini juga buat ketetapan bahawa kesemua enam wakil parti ke mesyuarat Majlis Presiden PH perlu bawa suara sama sepertimana keputusan parti, siapa calonnya dan apa pendirian parti,” katanya. – BERNAMA

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button