Nasional

PN sedia hadapi PRN Johor

PERIKATAN Nasional (PN) telah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor yang akan diadakan pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan walaupun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri sebelum ini, keputusan pembubaran DUN Johor dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.

“Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, PN akan mengadakan rundingan dengan parti-parti anggota PN bagi memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.

“Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam pilihan raya ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Johor seluruhnya,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pengundi yang layak untuk mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi SOP yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

“Saya berharap SOP yang akan ditetapkan nanti adalah seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti-parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat.

“Saya juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor untuk menunaikan hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,” katanya. – SM

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button