Politik

PN makin diterima masyarakat berbilang kaum di Johor – Muhyiddin Yassin

MUAR 10 Mac – Tinggal dua hari sebelum rakyat Johor keluar membuang undi Sabtu ini, Perikatan Nasional (PN) dilihat diterima dengan baik oleh seluruh masyarakat berbilang kaum di seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil gerak kerja parti itu di setiap pelosok negeri ini mendapati bukan sahaja orang Melayu tetapi orang Cina, India, orang Asli dan sebagainya semakin yakin dengan kepimpinan PN untuk membentuk kerajaan negeri Sabtu ini.

“Kita sudah bekerja keras sehingga kini dan saya fikir rakyat Johor sudah faham dengan aspirasi PN dan ikrar yang terkandung serta ditawarkan kepada mereka.

“Ikrar yang kita tawarkan untuk tempoh lima tahun ke hadapan adalah demi rakyat di negeri ini.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintergriti serta menolak rasuah dan saya ada pengalaman besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Hari Wanita 2022 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Haron.

BACA JUGA: Barisan Nasional bakal menang besar di Johor, pemimpin utama berdepan laluan mudah

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRN Johor, Sabtu ini.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) beliau lebih faham dan prihatin dengan masalah rakyat Johor.

Jelasnya jika PN diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri proses pemulihan dalam semua bidang akan menjadi agenda utama yang akan beliau beri keutamaan.

“Sejak pandemik Covid-19 seluruh rakyat terkesan dan sebab itu keutamaan saya adalah untuk membantu rakyat seperti mana saya lakukan ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai pelantikan Menteri Besar Johor Muhyiddin menegaskan calon yang akan dipilih jika PN diberi mandat nanti adalah seorang yang bertanggungjawab terhadap pemulihan semula Johor.

“Kita tak umumkan calon MB kerana pucuk pimpinan tertinggi parti dah buat keputusan nama itu akan diumumkan bila PN mendapat mandat dan majoriti,” ujarnya.

Beliau berkata, parti-parti lain yang bertanding dalam PRN Johor juga masing-masing belum memuktamadkan calon MB melainkan Barisan Nasional (BN) menamakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Klik untuk video komen Muhyiddin: https://fb.watch/bFpdBokeww/

(Visited 808 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button