Politik

PN digesa tampil pelan konkrit bela orang Melayu – GRM

PENYELARAS Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Mustaffa Kamil Ayub berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengemukakan segera pelan-pelan konkrit  dan agenda-agenda sistematik berhubung langkah membela orang Melayu seperti mana yang dilaungkan oleh gabungan parti tersebut.

Beliau berkata, orang Melayu merupakan kaum majoriti iaitu melebihi 60 peratus yang menjadi penduduk asal tanah air.

Katanya, justeru itu, kestabilan sosioekonomi dan politik kelompok kaum majority ini akan menjamin kestabilan keseluruhan rakyat di negara ini.

“Pun begitu, GRM berpandangan, proses mestilah tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak atau dieksploitasi menjadi isu perkauman sama ada dalam kalangan orang Melayu itu sendiri mahupun bukan Melayu.

“Selepas lebih 63 tahun negara kita merdeka, kelihatan kedudukan orang Melayu masih lagi ketinggalan di pelbagai sektor walaupun adanya hak-hak keistimewaan orang Melayu, tanah rizab Melayu, kuota bumiputera serta Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Jadi, di manakah silapnya dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam hal ini?” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut dalam kenyataannya, Mustaffa Kamil berkata, GRM turut berpandangan, usaha membela kelompok yang tertinggal sama ada orang Melayu, Kadazan, Dayak, Cina, India dan seumpamanya, mestilah dilakukan secara adil.

Usaha ke arah itu juga, katanya, mestilah tidak meniupkan senitmen perkauman, permusuhan mahupun pemboikotan selain tiada ketirisan, penyelewengan, rasuah, pembaziran dan pembolotan.

Beliau menambah, GRM turut menyeru agar pembinaan Malaysia Baharu tidak mencabut akar dan asas sedia ada.

“Sebaliknya wajar dibina sebagaimana asas dalam pembinaan masyarakat Madani Madinah iaitu akidah, ilmu, akhlak, adap, kerohanian dan dakwah,” kata beliau.

Katanya lagi, membina Malaysia Baharu juga perlu dilakukan serentak dalam kemakmuran serantau serta model globalisasi manusiawi yang pernah dilakukan dalam pengalaman pembinaan insan dan tamadun Islam. – SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button