NasionalPolitik

PN, Bersatu boleh juarai agenda perkasa wanita – Wan Saiful

PERIKATAN Nasional (PN) dan parti Bersatu yang menjadi tunjangnya boleh menjuarai agenda meningkatkan penyertaan wanita dalam pentadbiran negara.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata sebagai parti politik, wajar untuk PN dan Bersatu menjuarai agenda terbabit dengan memastikan calon wanita berkaliber diberikan tempat, baik di peringkat negeri mahupun nasional.

Katanya, semua pihak juga wajar menyokong agenda pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial untuk golongan berkenaan dan remaja yang dibawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Sidang Kemuncak Wanita Global 2022, baru-baru ini.

“Jelas sekali masih banyak perkara perlu dilakukan untuk mempertingkat penyertaan wanita dalam pentadbiran sektor korporat. Sokongan berterusan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong strategi dirangka kerajaan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, sosial dan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, menurut laporan berkala keenam Malaysia yang dikemukakan kerajaan kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), wanita hanya membentuk 19 peratus menteri Persekutuan, 19 peratus senator, 16 peratus ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 15 peratus Ahli Parlimen di negara ini.

“Tahniah kepada Datuk Seri Rina atas kejayaan dan komitmen yang beliau tunjukkan. Kesungguhan beliau memperjuangkan agenda memartabatkan wanita akan membawa manfaat kepada negara secara keseluruhan.

“Kerjasama rapat Malaysia dan Vietnam dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi juga satu perkara yang harus disambut baik oleh kita semua tanpa mengira jantina,” katanya.

Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Wanita Global 2022 di Bangkok, Thailand yang bermula 23 Jun lalu dan membentangkan inisiatif Wanita Bangkit digerakkan kementeriannya untuk membantu ekonomi wanita Malaysia pasca COVID-19.

Pada sidang berkenaan, Vietnam menunjukkan minat yang mendalam untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, mempromosi kesaksamaan gender, pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial untuk wanita dan remaja.

Forum perniagaan dan ekonomi antarabangsa tahunan itu menghimpunkan pemimpin wanita dengan penyertaan keseluruhan 650 perwakilan dari 52 negara, menjadi platform terbaik untuk Malaysia menyerlahkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam memperkasakan ekonomi wanita di negara ini. – SM

(Visited 398 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button