Politik

Kerajaan perlu tangani isu kekurangan beras tempatan dengan segera

BARU-BARU ini, isu kekurangan beras putih tempatan telah menjadi isu utama di negara kita. Walaupun masih terdapat beberapa tempat yang masih mempunyai stok beras putih tempatan tetapi ianya habis dijual pada masa yang singkat.

Isu kekurangan beras boleh dicegah beberapa bulan lalu jika Kerajaan Anwar Ibrahim telah mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan apabila gejala isu ini timbul semasa BERNAS memberi amaran bahawa Malaysia mungkin menghadapi masalah kekurangan beras sejak Jun tahun ini.

Oleh itu saya mensyorkan beberapa cadangan kepada kerajaan Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan masalah kekurangan beras tempatan dalam jangka masa yang pendek.

 

  1. Memberi subsidi bersasar dalam masa terdekat supaya rakyat tidak terpaksa untuk membeli beras import yang mahal.

Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan subsidi bersasar dalam masa terdekat untuk pembelian beras putih import sehingga bekalan beras putih tempatan pulih seperti sedia kala.

Subsidi bersasar perlu diberikan kepada golongan B40 dan M40. Kaedah pelaksanaan ini boleh rujuk kepada kaedah kerajaan sebelum ini semasa pandemik Covid-19. Kerajaan boleh memberi baucar kepada rakyat melalui wakil rakyat. Daripada itu kita dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa membeli beras import yang harganya dinaikkan berkali-kali dalam tempoh beberapa bulan.

 

  1. Membantu peruncitan/peniaga dalam kos logistik untuk penyelarasan kekurangan beras tempatan.

Memandangkan gelombang kekurangan beras tempatan telah menjadi seperti wabak di kebanyakan kawasan di negara kita. Saya mencadangkan agar kerajaan mengambil inisiatif berbincang dengan peruncit atau pengeluar beras di negeri yang mempunyai stok beras tempatan yang berlebihan untuk diagihkan ke kawasan-kawasan lain yang menghadapi kekurangan beras tempatan. Kaedah untuk melaksanakan cadangan ini termasuk kerajaan menanggung kos penghantaran atau logistik pengambilan beras tersebut.

 

3.Tangguhkan semua rancangan untuk mengeksport beras putih

Pada pertengahan tahun ini kerajaan telah menyatakan kesanggupan mereka untuk mengeksport beras putih ke negara luar.

GERAKAN menyarankan agar kerajaan membuat penangguhan sementara bagi sebarang polisi atau rancangan untuk mengeksport beras putih ke negara lain sehingga kadar sara diri makanan Malaysia mencecah 80%. Inisiatif ini akan memastikan bekalan makanan dalam keadaan stabil dan mencukupi di negara kita.

Isu kekurangan beras putih tempatan negara kita sebenarnya mempunyai beberapa punca, antaranya adalah kenaikan harga beras putih import sehingga 36 peratus di seluruh negara susulan penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas). Ia menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit dan sekaligus menyebabkan stok beras putih tempatan berkurangan.

GERAKAN berharap Kerajaan Anwar memandang serius terhadap isu ini dan mempertimbangkan dengan teliti cadangan diatas bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan di negara kita supaya rakyat tidak terbeban lagi.

Diharapkan isu kekurangan bekalan makanan terutamanya beras ini menjadi agenda utama dalam perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang kerajaan hari ini. Kajian yang mendalam harus dilaksanakan supaya masalah tahap keterjaminan makanan negara stabil.

 

YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia

 

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button