Politik

PM laksana tugas ‘jeneral perang Covid-19’

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, disifatkan sebagai seorang yang sedang memikul tanggungjawab sebagai ‘jeneral perang Koronavirus (Covid-19)’.

Beliau dikatakan menggalas tugas itu sejak awal penularan wabak pandemik berkenaan ketika mula menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.

Malah, tidak ramai tahu secara terperinci mengenai di sebalik tabir pengurusan pandemik serta hal-hal yang berlaku sepanjang penularan wabak Covid-19.

Ini termasuklah tanggungjawab dipikul Muhyiddin dengan mempengerusikan pelbagai jawatankuasa dan mesyuarat termasuklah pengurusan darurat.

“Saya bukanlah tahu banyak perkara mengenai apa yang berlaku di dalam kerajaan.

“Tetapi sebagai pembantu kepada Perdana Menteri, bolehlah saya jelaskan serba sedikit mengenai peranan Perdana Menteri dalam mengurus pandemik Covid-19.”

Demikian kata Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad, dalam satu kenyataan menerusi hantaran dalam Facebook Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menerusi hantaran tersebut, Muhyiddin dikatakan memegang pelbagai tanggungjawab termasuklah mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri pada setiap hari Rabu.

Selain itu, beliau juga mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 tiga kali seminggu sejak Mac tahun lalu.

Dalam tempoh darurat ini pula, Perdana Menteri turut mempengerusikan Sidang Majlis Keselamatan Negara Mengenai Darurat yang bermesyuarat dua kali seminggu.

Bagi pengurusan ekonomi, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) pada setiap hari Isnin bagi meneliti laporan terkini petunjuk ekonomi negara dan membuat keputusan penting mengenainya.

Malah, bagi mengurus kadar pengangguran ketika pandemik, Muhyiddin juga mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara yang memberi fokus kepada penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan.

“Dari segi jadual tugas Perdana Menteri, hampir setiap hari beliau terlibat secara langsung dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan pengurusan Covid-19.

“Yang terbaharu ialah arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat tangkapan, pemeriksaan dan penggeledahan dalam operasi membanteras pendatang asing tanpa izin dan pencegahan Covid-19.

“Penjelasan ringkas saya ini diharapkan dapat membantu para pengkaji dan pelajar sains politik atau sesiapa sahaja yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai peranan Perdana Menteri dalam pengurusan Covid-19 di negara ini,” jelasnya. – SM

(Visited 442 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button