Nasional

Sabah: Adakah Shafie iktiraf tuntutan Filipina terhadap Sabah?

MENTERI Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kecewa dengan cadangan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal yang mahu kerajaan Persekutuan berunding secara dengan Filipina mengenai tuntutan negara itu terhadap Sabah.

Hishammuddin berkata, beliau telah banyak kali menengaskan Kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana negeri itu milik Malaysia selama-lamanya.

“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie baru-baru ini mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina.

“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan,” kata Hishammuddin.

Menurut Hishammuddin, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Justeru, menurutnya tidak ada sebab mengapa Malaysia perlu berunding dengan negara tersebut.

Tegasnya, sekiranya Malaysia membuka ruang rundingan bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas.

“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?

“Sebagai pemimpin Sabah, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.

“Pendirian Kerajaan Malaysia tetap kukuh – tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah!” kata Hishammuddin.

Pada 28 Ogos lalu media melaporkan, Shafie yang merupakan Ketua Menteri Sabah ketika itu mahu kerajaan Persekutuan berunding secara ‘goverment to government’ terhadap tuntutan ke atas Sabah.

Shafie berkata, Filipina perlu diberi penjelasan mengenai referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1963 yang menunjukkan rakyat Sabah memilih Malaysia.

“Jadi tidak timbul lagi tuntutan terhadap Sabah. Isu itu harus dipadam sama sekali,” katanya pada sidang media mengenai provokasi Filipina yang dikaitkan dengan tuntutannya ke atas Sabah.

Shafie menegaskan kegagalan menamatkan isu tuntutan secara mutlak sebelum ini menyebabkan ia timbul semula terutama apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjelang pilihan raya.

“Daripada awal lagi isu ini tidak diatasi secara konkrit oleh kerajaan, sepatutnya padam terus kerana sudah ada Suruhanjaya Cobbold yang buat referendum, ia mesti diiktiraf.

“Sejak 1960-an lagi perkara ini sepatutnya sudah ditamatkan dan ia harus dihormati negara di rantau ini. Kita tidak mahu perbalahan berlaku, jika tidak dipadam ia akan jadi besar,” katanya.

Beliau berkata, Filipina tidak boleh dibiarkan berterusan menganggap isu itu sebagai perkara kecil kerana ia membabitkan soal kedaulatan dan hubungan antara negara.

Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.-SM

(Visited 383 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button