
PM ucapkan “Selamat menunaikan ibadat Thaipusam!”
PERDANA Menteri dalam hantarannya ke Facebook memaklumkan usai solat Jumaat dan makan tengah hari di Gombak, saya telah berkunjung ke perkarangan Kuil Hindu Batu Caves bagi meninjau persiapan penganut Hindu menyambut perayaan Thaipusam pada hari Selasa depan.
Menurut beliau, lawatan itu juga antara lain adalah bagi memantau persiapan serta memastikan agar sambutan Thaipusam pada minggu hadapan dapat dirayakan penganut Hindu dengan aman, selamat dan tidak menyulitkan mereka.
Kunjungan itu, katanya, tidak sekadar simbolik, tetapi satu cetusan dan manifestasi betapa Malaysia adalah sebuah negara yang rencam budaya dan agama yang telah sekian lama hidup berukun dan berdamping di bawah satu bumbung bernama Malaysia.
“Mesti ditegaskan juga di sini bahawa dalam kepelbagaian, kita menemukan kekuatan. Dalam perbedaan, kita membina perpaduan.
“Justeru, Malaysia mesti mekar sebagai tatanan dan negara yang kuat atas tiang kemajmukan. Sebagai rakyat yang bijak dan cintakan negara, kita bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian ini serta elakkan diri dari sebarang usaha dan sentimen yang memicu perpecahan.
“Semoga sambutan Thaipusam pada kali ini membawa kebahagiaan kepada seluruh penganut Hindu,” katanya.