Politik

PM tak sebut kerajaan akan iktiraf UEC

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak pernah menyatakan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zhong) baru-baru ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan menegaskan, Muhyiddin hanya menyebut UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian apabila kerajaan lalu telah menerima UEC.

Kelulusan UEC telah diterima dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan bidang pengkhususan Bahasa Cina (PISMP) di Institut Perguruan Malaysia.

“Berhubung pengiktirafan UEC yang dibangkitkan dalam pertemuan pimpinan Hua Zhong bersama Perdana Menteri pada 16 Julai 2020, ingin dijelaskan bahawa Perdana Menteri tidak menyatakan kerajaan akan mengiktiraf sijil UEC,” kata kenyataan tersebut.

Pada tahun 2012, Kerajaan pimpinan Barisan Nasional telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang bahasa Cina.

Mereka bagaimanapun disyaratkan lulus Sijil Pelajaran Malaysia dan sekurang-kurangnya memperolehi kepujian dalam bahasa Melayu.

Menurut PMO, Muhyiddin mahu UEC selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan jika mahu sijil peperiksaan itu diiktiraf.

“Perdana Menteri juga menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh Kerajaan pada masa depan,” kata kenyataan itu.

Hua Zhong sebelum ini mendakwa Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Menurut pertubuhan itu Muhyiddin menyatakan harapan tersebut semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan parlimen baru-baru ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Hua Zhong berkata, Muhyiddin menyatakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.

Bagaimanapun, kata Hua Zhong, perdana menteri meminta semua pihak agar memahami dasar dan keadaan dalam negara.

Mengiktiraf UEC merupakan salah satu daripada manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

UEC merupakan Sijil Peperiksaan Bersama yang diwujudkan oleh Dong Jio Zong atau Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina sejak tahun 1975 dan digunakan di Sekolah Persendirian Cina di Malaysia.

Silibus atau mata pelajaran UEC didakwa berasal sepenuhnya dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Terdapat tiga tahap dalam UEC iaitu vokasional (UEC-V), junior (UEC-JML/JUEC) dan senior (UEC-SML/SUEC). Bahasa Cina merupakan bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan bagi UEC-V dan UEC-JML.

Pakatan Harapan pada PRU-14 melalui manifesto PRU-14 Janji 50: Mengembalikan Wibawa University Awam dan Pengajian Tinggi, mahu mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki isntitusi-institusi pengajian tinggi awam dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajran Bahasa Melayu peringkat SPM.-SM

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button