Politik

PM tahu apa yang lebih baik untuk Maszlee

DALAM keadaan ramai yang masih termangu-mangu apa sudah jadi kepada bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang mengambil tindakan mengejut meletakkan jawatan petang tadi, dikatakan satu pertemuan berlangsung antara beliau dengan Perdana Menteri malam tadi.

Dikatakan pertemuan tersebut mengambil masa yang agak lama juga membincangkan apa peranan yang boleh diberikan kepada Maszlee selepas ini.

Walaupun ramai pihak yang bertepuk tangan dan seolah-olah gembira dengan peletakan jawatan Maszlee itu tetapi hakikatnya banyak lagi cara bagi beliau untuk terus menyumbang khidmat kepada parti yang dicintainya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta negara.

Dalam soal ini sebenarnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad lebih tahu apa sebenarnya yang terbaik untuk Maszlee dan juga parti serta negara.

Soal peletakan jawatan beliau dari Kabinet bukan isu besar sebenarnya kecuali bagi pihak yang hanya melihatnya dari sudut negatif.

Malah bagi penulis apa yang dilakukan oleh Maszlee itu sebenarnya terpuji kerana beliau bukan seorang yang pentingkan diri dan lebih mementingkan parti dan negara bagi memberi laluan kepada agenda yang lebih baik.

Bagi pihak pembangkang sudah tentu hilang seorang lagi yang boleh mereka kecam dan bagi pihak liberal dan penyokong Dong Zong ia seumpama pesta bila melihat Maszlee melangkah keluar dari kementerian yang diketuainya dalam jangka masa 20 bulan.

Tapi seperti yang beliau ungkapkan semasa sidang media petang tadi perjuangan bagi dirinya belum berakhir malah bagi penulis ia sebenarnya baru bermula.

Dalam politik bagi kebanyakan mereka ia umpama penamat karier dan ‘azab besar’ bila hilang jawatan Kabinet tetapi Maszlee melepaskannya dengan tenang dan tidak kesah kehilangan gaji lumayan dan pelbagai kelebihan yang diperolehi sebagai seorang menteri kanan.

Anggaplah kehilangan jawatan ini sebagai satu petanda kebangkitan semula yang lebih baik bagi seorang yang bernama Maszlee Malik.

Saya merupakan orang pertama yang mewawancaranya selepas beliau balik dari luar negara selepas menamatkan pengajian PhD, yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Ternyata beliau mempunyai pemikiran jelas dan tinggi ilmunya malah jauh sekali seorang yang mengejar harta dan pangkat selama mengenalinya.

Harapan penulis untuk beliau, mulakan hidup baharu dengan hati yang lebih kental dan pada masa sama terus kritis dan tegas dalam soal pembinaan bangsa dan agama.

Menyumbang bukan sahaja apabila ada kedudukan dan pangkat sahaja tetapi yang lebih penting sejauh mana sumbangan itu memberi makna kepada manusiawi.

Kepada menteri-menteri lain janganlah terlalu seronok dengan kedudukan dan kereta baharu jenama Toyota Alphard yang bakal diterima.

Apa yang berlaku kepada Maszlee ini tidak mustahil berlaku kepada kalian cuma mungkin menunggu masa dan ketikanya sahaja. – SM

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button