Luar Negara

Majikan di Portugal dilarang hubungi kakitangan selepas waktu kerja

PORTUGAL telah melarang majikan daripada menghantar mesej teks dan menghantar e-mel kepada kakitangan di luar waktu bekerja sebagai sebahagian daripada undang-undang baharu yang digelar “hak untuk berehat”.

Langkah itu diperkenalkan oleh parti sosialis sebagai tindak balas kepada peningkatan kes bekerja dari rumah sejak pandemik Covid-19.

Syarikat yang mempunyai lebih daripada 10 kakitangan boleh dikenakan denda jika mereka menghubungi pekerja di luar waktu kontrak kerja mereka.

Terdapat juga peraturan baharu untuk membenarkan kakitangan yang mempunyai anak kecil supaya bekerja dari rumah. Ibu bapa akan dibenarkan bekerja di rumah selama-lamanya tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada majikan mereka sehingga anak mereka berumur lapan tahun.

Dan syarikat juga mungkin perlu menyumbang kepada bil isi rumah yang lebih tinggi daripada seperti bil elektrik dan kos internet.

Walau bagaimanapun, beberapa elemen pakej itu tidak diluluskan oleh parlimen Portugal, termasuk “hak untuk memutuskan sambungan” yang membenarkan kakitangan mematikan semua peranti kerja di luar waktu.

Menteri Buruh dan Keselamatan Sosial Portugal, Ana Mendes Godinho, memberitahu semasa persidangan di Lisbon minggu lalu bahawa bekerja dari rumah boleh menjadi ‘game changer’ dalam menjalani kehidupan dalam norma baharu tetapi ianya perlu dikawal.

Beliau juga berharap akta perlindungan buruh yang dipertingkatkan akan menarik lebih ramai warga asing ke negara tersebut.

Portugal sudah mempunyai skim visa pemastautin sementara yang direka untuk menarik usahawan dan pekerja bebas seperti di kepulauan Madeira yang mempunyai “kampung nomad digital”, dengan wifi percuma serta kemudahan asas pejabat.

Beberapa negara lain telah memperkenalkan apa yang dipanggil “visa nomad digital”, berbanding permit pelancongan standard, termasuk Barbados dan Croatia. – SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button