Politik

PM perlukan sokongan rakyat pulihkan negara

DESAS-DESUS telah mula kedengaran bahawa ini adalah masa yang paling sesuai untuk diadakan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15). Terdapat pandangan A Snap General Election adalah terbaik untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam di Bera, Pahang, memohon Ahli-Ahli UMNO agar terus memberi sokongan kepadanya supaya beliau boleh fokus memulihkan keadaan ekonomi dan kesihatan yang dihadapi oleh rakyat.

“Walaupun angka kes baru sudah menurun tetapi pandemik Covid-19 belum lagi selesai sepenuhnya. Kerajaan masih mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memulihkan kesihatan rakyat dan ekonomi negara,” kata Ismail Sabri.

Ismail Sabri turut mengingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan dibina hari ini atas kerjasama politik dengan parti-parti lain bukan kerana UMNO menang Pilihanraya Umum (PRU).

Kekalahan pada PRU14 perlu dijadikan satu pengajaran yang amat berguna. Kita perlu insaf. Segala-galanya adalah kehendak rakyat.

Rakyat akan menentukan siapa yang akan berkuasa dan membentuk Kerajaan di masa hadapan.

Kerana itu juga, suara anak muda dan undi 18 tahun adalah amat penting untuk UMNO. Pengundi-pengundi berumur 18 ke atas akan didaftar secara automatik mulai 15 Disember 2021 ini.

Pertambahan dari undi anak-anak muda ini boleh mengubah lanskap politik tanah air.

Sesuatu parti politik yang tidak berjaya menawan hati anak muda, boleh rebah di PRU15.

Ismail Sabri juga mengingatkan Ahli-Ahli UMNO jangan bersikap bongkak (arrogant) atas kemenangan besar UMNO pada Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Statistik menunjukkan undi popular UMNO hanya bertambah 1% peratus sahaja. Ini bermakna sejumlah besar pengundi atas pagar, pengundi dari luar dan pengundi muda tidak keluar mengundi.

UMNO bernasib baik kerana dengan jentera yang besar dari seluruh negara berkampung di Negeri Melaka telah berjaya mengeluarkan pengundi-pengundi putih penyokong tegar UMNO keluar untuk mengundi pada PRN Melaka.

Ketika PRU15 nanti, Melaka tidak lagi boleh mengharapkan jentera dari luar kerana masing-masing akan berhadapan dengan peperangan pilihanraya di tempat sendiri.

Ahli-Ahli UMNO juga perlu mengambil iktibar dengan keputusan Pilihanraya Kecil Parlimen di Sg. Besar, Selangor dan di Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun 2016.

Ketika itu, dengan jentera UMNO yang besar, UMNO telah menang dengan amat selesa di kedua-dua kerusi Parlimen menyebabkan UMNO dan BN rasa amat yakin dapat mempertahankan kuasa serta Kerajaan Persekutuan pada PRU14.

Apa yang terjadi, dua tahun selepas Sg. Besar dan Kuala Kangsar, angin perubahan bertiup kencang, isu-isu nasional menjadi teras pertimbangan rakyat.

Isu-isu seperti Skandal Kewangan 1MDB, Cukai GST, harga minyak tinggi, tol mahu dihapuskan, terus menerus dijadikan isu dan dijadikan pertimbangan oleh rakyat, parti yang mana satukah paling layak untuk memimpin negara.

Maka, pada malam 9 Mei 2018, tumbanglah Kerajaan Barisan Nasional dan naiklah Kerajaan Pakatan Harapan dengan hanya menang 113 kerusi Parlimen sahaja iaitu dengan majoriti 2 kerusi.

Sesungguhnya saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mempunyai merit dan kebenarannya.

Rakyat dan Ahli-Ahli UMNO perlu terus menyokong Perdana Menteri yang datangnya dari parti UMNO ini untuk meneruskan agenda memulihkan negara dari belenggu pandemik Covid-19.

Kemungkinan terdapat rakyat dan pemimpin-pemimpin UMNO sudah merasa selesa dengan keadaan sekarang dan mahukan Pilihanraya Umum dengan segera.

Tetapi hakikatnya, negara masih lagi belum bersedia. Rakyat yang menganggur dan tiada pekerjaan, masih tinggi.

Rakyat yang tiada income bulanan masih tinggi. Rakyat yang berniaga dan cuba memulihkan perniagaan mereka, masih ramai.

Sebagai contoh, kita lihat di sekeliling berapa banyak kedai-kedai makan, kedai alat tulis dan kedai runcit yang tutup.

Di Melaka ketika PRN, saya lihat Restoran Mamak Zubaidah yang berhadapan dengan Hotel Hatten pun terpaksa tutup kerana bankrup, inikan pula restoran-restoran kecil yang lain.

Negara berada dalam keadaan susah selepas hampir dua tahun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Janganlah pula, ahli-ahli politik mengambil kesempatan mempamirkan perasaan tamak mahu berebut kuasa, gelojoh, mahukan kedudukan dalam politik tanpa berasa kesian terhadap kesengsaraan rakyat.

Kesusahan yang dialami rakyat adalah sesuatu yang benar.

Berapa ramai di antara kita yang ada ahli keluarga atau kenalan yang meninggal dunia akibat Covid-19 ? Akhirnya it’s not about timing.

Bermakna, bukan kerana ini adalah masa yang sesuai untuk diadakan PRU15 kerana kalau adakan sekarang, UMNO boleh menang cemerlang.

Sebenarnya, segala-galanya adalah sama ada negara sudah pulih, rakyat sudah sihat, angka kes baru Covid-19 sudah berada di paras paling rendah serta ekonomi negara sudah berada di tahap yang baik sehinggakan mudah untuk rakyat mencari rezeki di bumi bertuah ini.

Sudah-sudahlah negara bertukar Perdana Menteri. Tiga kali dalam jangka masa tiga tahun tiga bulan ini. Menunjukkan kepada dunia luar bahawa negara ini politically unstable. Politik negara tidak stabil.

Kita beri peluang dan masa yang cukup untuk Ismail Sabri stabilkan keadaan politik, pulihkan ekonomi dan pulihkan kesihatan rakyat dari pandemik Covid-19 ini.

Sesungguhnya, rakyat merasakan keperibadian dan diplomasi yang baik yang ada pada Ismail Sabri dalam menjaga kepentingan semua pihak, akan dapat memberikan kestabilan politik yang sedang diperlukan oleh negara. – SM

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button