pilihanPolitik

Srikandi Muda Johor tuntut cadangan yang digariskan Majlis Pemulihan Negara

Srikandi Muda Negeri Johor menggesa Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segera melaksanakan cadangan yang digariskan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ketuanya, Shazani A. Hamid dalam satu kenyataan, meluahkan rasa dukacitakan apabila cadangan daripada individu yang dilantik dalam MPN sering ditangguh dan tidak dilaksanakan segera.

“Mereka yang dilantik ke dalam MPN adalah berdasarkan kepakaran serta keyakinan pihak kerajaan terhadap kemampuan kumpulan individu ini menasihati kerajaan dalam membangun kembali negara.

“Namun berdasarkan pemerhatian, segala cadangan yang diutarakan langsung tidak dipandang serius apabila seperti ditangguh-tangguh dan tidak segera dilaksana walaupun telah diperakui,” katanya.

Shazani berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Ismail untuk lebih serius dan tidak mengabaikan segala cadangan yang telah dibentangkan.

“Sebagai anak muda yang ingin melihat masa depan negara yang gemilang, timbul rasa kesal apabila terdapat individu dalam Kerajaan lambat bertindak serta tidak mengutamakan pemulihan ekonomi negara dan rakyat.

“Disebabkan anak-anak muda adalah pewaris masa depan negara, para pemimpin sedia ada seharusnya menunjukkan sikap yang baik dan wajar dicontohi oleh kami,” ujar Shazani.

Bagi Shazani yang merupakan Ketua Srikandi Muda, Muhyiddin telah melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Pengerusi MPN dan ketokohan serta semangat beliau sangat dikagumi.

“Saya mewakili Srikandi Muda Johor berharap Perdana Menteri dapat memperhalusi perkara ini dan menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bertepatan dengan objektif Keluarga Malaysia.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri perlu segera menggerakkan barisan jemaah menteri serta jabatan dan agensi agar negara dapat pulih kembali. Kita sama-sama lakukan perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya.

(Visited 388 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button