Nasional

PM minta rakyat guna kuasa pilih kerajaan berwibawa

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan baharu selepas Parlimen ke-14 dibubarkan mula hari ini atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, sebuah kerajaan yang stabil perlu dipilih bagi meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.

Beliau berkata, pembubaran Parlimen ke-14 adalah wajar dilakukan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan dengan menyelar kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Parlimen Penggal Ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi.

“Pada kesempatan ini, izinkan juga saya menzahirkan setingi-tinggi terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana menyokong dan mendokong saya selama ini, dalam melunaskan amanah serta tanggungjawab sebagai Ketua Kerajaan ,” ujarnya berucap berucap pada perutusan khas di Perdana Putra, Putrajaya di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sepanjang setahun lebih pemerintahannya meskipun acapkali diasak pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah, dengan kehendak yang Maha Berkuasa, kerajaan andal menghadapi mehnah dan tribulasi, dalam perjuangan membawa negara ke landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi – demi memulihkan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia dan kemakmuran negara.

Namun katanya, kerajaan pimpinannya telah berjaya melaksanakan beberapa transformasi yang signifikan, antaranya ialah Pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar Parti, Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Anti Gangguan Seksual.

Katanya, kerajaan ini bertanggungjawab dan sentiasa membuat perancangan yang teliti dalam semua perihal. Ketika negara berhadapan krisis kesihatan misalnya, Kerajaan meletakkan kepentingan Keluarga Malaysia di atas segalanya.

“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh Keluarga Malaysia, yang sentiasa memberikan sokongan ampuh dalam membantu Kerajaan membendung penularan COVID-19.

“Di atas kejayaan tersebut, Malaysia telah melangkah memasuki fasa peralihan ke endemik pada tanggal 1 April 2022, yang membolehkan pembukaan semula sempadan negara selepas lebih dua tahun ditutup,” ujarnya.

Justeru katanya, rakyat sepatutnya sama-sama berkongsi rasa bahagia dan bangga apabila negara berjaya keluar dari pandemik, bahkan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang terbaik di Asia Tenggara, dalam mendepani cabaran COVID-19. – SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button