Politik

PM mahu UMNO buat pendirian sebelum rundingan agihan kerusi PRU-15

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid telah mengutuskan surat kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan kerjasama kedua-dua parti berikutan permintaan Muhyiddin.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Muhyiddin telah meminta untuk UMNO membuat pendirian mengenai hubungan kerjasama kedua-dua parti tersebut pada satu Perjumpaan Khas antara UMNO, PPBM dan PAS pada 15 Februari lalu.

Lima orang kepimpinan tertinggi bagi setiap parti telah hadir dalam perjumpaan khas tersebut.

Ahmad Maslan berkata, Muhyiddin mahu UMNO membuat pendirian jelas sebelum perundingan pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diteruskan.

“Di dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri merangkap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan PPBM sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU ke-15.

“Bagi maksud tersebut, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) telah mengadakan mesyuarat pada Jumaat, 19 Februari 2021 untuk membincangkan lanjut hasrat YAB Perdana Menteri tersebut,” kata Ahmad.

Surat yang diserahkan kepada Muhyiddin itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Muhyiddin.

Surat tersebut menyatakan tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15 dan UMNO berpendapat kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Justeru, keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam Kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan membuat keputusan berkaitan hubungan parti itu dengan UMNO petang ini.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Biro Politik parti itu mengambil akan membuat ketetapan tersebut dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada petang ini.

Beliau berkata, Biro Politik parti itu telah bermesyuarat petang semalam membincangkan surat Ahmad Zahid kepada Muhyiddin berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 19 Februari di Janda Baik, Pahang.-SM

 

(Visited 424 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button