fbpx
Ekonomi

PM kata ekonomi sudah kembali rancak

Sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 kini telah kembali rancak terutamanya aktiviti pelancongan tempatan dan jika trend ini berterusan ekonomi negara dapat pulih dengan lebih cepat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keadaan ini mampu dicapai sekiranya semua rakyat dapat mengamalkan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan akan terpaksa memperkenalkan semula langkah-langkah lebih ketat sekiranya rakyat mengambil mudah SOP dan kes jangkitan meningkat.

“Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan semula, ekonomi negara akan terjejas teruk.

“Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan secara langsung di RTM, Bernama, TV3 dan Astro Awani, hari ini.


Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada  -2 peratus hingga 0.5 peratus tahun ini manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) -3.8 peratus dan Bank Dunia -3.1 peratus.

Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangannya dengan kewujudan empat kluster baharu sejak 7 Julai lepas yang dikesan berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak 3 kes, Kluster di Melaka 5 kes, Kluster di Terengganu 3 kes dan Kluster di Kuala Lumpur 2 kes.

“Wabak ini masih belum berakhir. Kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi. Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus COVID- 19 di seluruh dunia dengan lebih 600 ribu kematian dicatatkan.” katanya sambil menambah beliau sentiasa memantau keadaan terkini pandemik tersebut.

Muhyiddin berkata, kerajaan telah melancarkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti PRIHATIN, PRIHATIN  Tambahan dan PENJANA yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan  perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

Menurutnya, lebih 2.75 juta pekerjaan telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja.

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita semua dapat keluar daripada krisis dan memulihkan keadaan kesihatan rakyat dan ekonomi negara kita dengan kadar yang segera,” katanya.

Justeru itu, Perdana Menteri menasihati rakyat agar jangan lalai dan alpa.

“Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak COVID-19,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button