Berita

Utusan Malaysia akan dilancar semula pada Februari

SELEPAS sekian lama, ramai yang tertanya-tanya apakah Utusan Malaysia akan dibuka kembali.

Difahamkan Utusan Malaysia akan dilancarkan kembali bersama-sama pelancaran Petronas Le Tour de Langkawi 2020 di Sabah iaitu pada 6 Februari tahun hadapan.

Tidak lama selepas itu difahamkan juga Kosmo! akan dilancarkan.

Bagaimanapun setakat ini kakitangan Utusan yang dibuang kerja selepas syarikat berkenaan gulung tikar belum mendapat sebarang tawaran untuk kembali bertugas di syarikat baharu yang memiliki lesen penerbitan Utusan.

Hak penerbitan Utusan sebelum ini dipindahkan kepada syarikat Dlof.

Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) akan melepaskan 70 peratus kepentingan dalam anak syarikatnya, Dilof Sdn Bhd (Dilof) kepada Aurora Mulia Sdn Bhd (Aurora Mulia).

Dilof adalah anak syarikat 100 peratus milik Utusan yang juga pemegang permit penerbitan bagi dua akhbar berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

Penyerahan kepentingan dalam Dilof dikatakan dibuat untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana berkenaan.

Ini untuk memastikan Utusan yang berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo yang berusia 15 tahun dapat diteruskan.

Utusan ditutup dan semua asetnya sedang dilelong bagi membayar hutang, manakala pelaburan dalam Dilof akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan.

Aurora Mulia dipilih kerana syarikat berkenaan adalah pemegang saham utama Media Prima Bhd.

Pelaburan ini juga bakal menyaksikan penggabungan jabatan-jabatan sokongan kepada penerbitan beberapa jenama akhbar utama di negara ini seperti percetakan, pengedaran dan pengiklanan.

Media Prima juga telah memberhentikan lebih 1,000 kakitangannya untuk tujuan yang sama dan Utusan Malaysia serta Kosmo dikatakan kini diletakkan di bawah syarikat baharu iaitu Media Mulia.

 

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button