Nasional

PM dengar sendiri masalah pemandu, riders Grab

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mendengar sendiri luahan masalah yang dihadapi pemandu dan riders Grab berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Meluangkan masa tengah hari tadi, Muhyiddin bangga dengan semangat dan dedikasi kumpulan tersebut mencari rezeki disebalik kemerosotan pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri turut sedar, ramai daripada mereka terdiri daripada kalangan mereka yang kehilangan pekerjaan tetap kesan daripada pandemik Covid-19.

“Saya merasa bangga dengan semangat dan dedikasi mereka. Apa yang penting bagi mereka ialah mencari rezeki yang halal untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak COVID-19 melanda negara.

“Mendengar luahan hati mereka, saya dapat tahu rata-ratanya menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil. Namun tidak mahu berpeluk tubuh, mereka menjadi pemandu/rider Grab, sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga,” kata Muhyiddin.


Beliau juga kagum dengan pasangan suami isteri orang kurang upaya Siti Fatimah dan suami Nijaz Nathan Vellasamy yang gigih menjadi pemandu Grab tanpa menjadikan kekurangan sebagai penghalang untuk mencari rezeki.

Kedua-dua mereka antara lebih 200 pemandu OKU yang beroperasi dalam perkhidmatan Grab pada waktu ini.

Muhyiddin turut diberitahu bahawa pendapatan kumpulan itu kini kurang RM100 sehari atau kira-kira RM2,000 hingga RM2,500 sebulan berbanding sebelum Covid-19 antara RM4,000 ke RM5,000 sebulan.

“Mereka meminta Kerajaan memberikan sokongan kepada pemandu OKU dengan mempermudahkan syarat pengambilan lesen pemandu PSV yang dikatakan amat ketat, dan membolehkan mereka bekerja seperti pemandu e-hailing lain.

“Kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan LPS dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan sedikit masa lagi.

“Saya akan meminta Kementerian Pengangkutan meneliti semula perkara ini dengan seberapa segera,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, beliau amat menghargai sumbangan besar para pemandu dan riders dalam menjana ekonomi negara.

Kumpulan tersebut bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri tetapi turut membantu memperluaskan rantaian ekonomi para peniaga lain.

“Saya ingin berpesan kepada semua pemandu/rider, agar dalam pada gigih mencari rezeki, jangan sesekali lupa menjaga keselamatan diri.

“Apa juga cabaran dan dugaan yang datang jangan putus asa atau cepat mengalah. Sematkan semangat ini dalam diri. Semoga Allah memberkati usaha anda semua dan melindungi kita daripada sebarang musibah,” doa Muhyiddin.-SM

 

 

(Visited 85 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button