Politik

Istana Negara panggil pemimpin parti: ‘Kami tiada maklumat’

PEMIMPIN parti daripada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO memaklumkan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pembentukan kerajaan baharu.

Hal itu timbul selepas sebuah portal berita memetik sumbernya mendakwa Istana Negara akan memanggil semua pemimpin parti politik untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Laporan itu menjelaskan semua pemimpin dipanggil bagi membentuk pentadbiran baharu selepas mendakwa kerajaan semasa tidak dapat menangani krisis pandemik Koronavirus (Covid-19).

“Saya tiada maklumat, perkara ini lebih baik ditanya kepada Presiden (Presiden Amanah, Mohamad Sabu) sendiri sekiranya benar beliau bercakap mengenai hal itu.”

Demikian ringkas jawapan diberikan Pengarah Komunikasi Amanah Negara, Khalid Abdul Samad ketika dihubungi Wartawan Suara Merdeka tadi yang memaklumkan laporan sedemikian belum tentu betul.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi, turut memberikan jawapan sama dan menafikan jika Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mengeluarkan sebarang kenyataan seumpama itu.

“Saya tiada maklumat. Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menyebut tentang perkara itu. Jadi, laporan itu belum tentu betul,” jawabnya.

Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan jika perkara itu benar pasti Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memaklumkan kepada kepimpinan parti.

“Tetapi kalau Presiden tahu, beliau pasti akan maklumkan. Saya tidak dapat apa-apa maklumat, tetapi tak pastilah kalau Presiden sudah tahu. Sebab saya sudah lama tidak berjumpa dengan orang,” katanya.

Sebelum ini, portal berkenaan memetik kenyataan pimpinan Amanah Nasional, Dr. Muhaimin Sulam yang memaklumkan Mohamad memberitahu terdapat perkembangan baik dalam masa terdekat.

Portal itu turut mengaitkan dengan kenyataan Anwar dalam Amanat Khas Presiden PKR semalam yang meminta partinya tidak boleh terlalu keras menolak kerjasama.

Kata Anwar, PKR perlu berlapang dada untuk menerima kerjasama bagi menyelamatkan negara.

“Dalam keadaan (sekarang), kita tiada keupayaan atau bersikap terlalu keras untuk menolak segala bentuk kerjasama,” katanya.

Laporan yang diterbitkan portal berkenaan malam tadi kemudian tular dalam aplikasi WhatsApp dan menimbulkan pelbagai spekulasi ketika negara sedang menghadapi gelombang baharu penularan pandemik Covid-19. – SM

(Visited 972 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button