Politik

Kami bukan pengkhianat – Hishammuddin Hussein

“Saya berterima kasih kepada Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) kerana memaafkan 10 orang yang katanya pengkhianat,” ujar ringkas Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein.

Menurutnya, beliau sendiri tidak tahu apa sebabnya mereka dituduh sebagai pengkhianat.

Jelasnya, beliau cukup yakin apa yang telah berlaku tidak ada benda yang patut apologitik dan sehingga dituduh mengkhianati perjuangan parti.

“Apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias semalam saya sangat setuju. Itu adalah faktanya.

“Kalau sekiranya ia merupakan sesuatu yang perlu saya sahkan, kalau mereka nak ambil tindakan, ambilah!.

“Tak ada benda yang perlu saya bimbang kerana kita konsisten kerana sebelum ini kalau di peringkat awal usaha nak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) bercanggah dengan pendirian parti sendiri.

“Kita buat akuan berkanun (SD) tetapi apabila parti buat keputusan untuk kita berkecuali satu ketika dahulu, kita tarik balik SD berkenaan,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas ucapan
dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri selain Hishammuddin dan Jalaluddin ialah Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Wee Ka Siong (Ayer Hitam), M.Saravanan (Tapah), Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Isam Isa (Tampin), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) dan Abdul Rahman Mohamad (Lipis).

Memetik sebuah portal semalam Jalaluddin berkata, tindakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15 bukan pengkhianatan atau membelakangkan parti.

Jelas beliau, tindakanya dan sembilan lagi Ahli Parlimen menandatangani SD menyokong pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dibuat selaras naratif parti ketika itu.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata: “Selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dan itu adalah kehendak parti dan kami bersetuju…di mana pengkhianatannya?”

Justeru beliau mengingatkan kepada semua pihak bahawa orang ramai sudah mual dan bosan dengan cara kita berbalah, bertelagah, menuduh sesama ahli.

Jelasnya, sepatutnya PAU2022 digunakan untuk melihat ke depan terutama berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya harap apa yang dapat kita bincangkan dalam PAU2022 ini ialah mengenai hala tuju dan cara bagaimana kita dapat mengurangkan jurang dalam kalangan orang ramai terhadap parti dan perjuangan sebenarnya.

“Itu adalah lebih baik daripada hanya menggunakan platform ini untuk bercakaran, berbalah sesama kita, tuduh menuduh sesama kita, serang menyerang sesama kita …sedarlah cukup! cukup!,” ujarnya.

Ditanya berhubung pertandingan dua jawatan utama parti Hishammuddin berkata, beliau menunggu keputusan daripada mesyuarat PAU2022 kali ini.

“Jika ada, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan untuk bertanding dalam pemilihan yangakan datang,” ujarnya tanpa mengulas jawatan yang akan ditandinginya nanti. – SM

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button