Nasional

PM beri jaminan hak Sabah, Sarawak terus terpelihara

Kerajaan memastikan Perjanjian Malaysia 1963 mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam perjanjian MA63 akan terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 menegaskan kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah.

Bagi Sarawak pula kata Perdana Menteri, sebanyak RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan
pendidikan dan kesihatan.

“Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63, yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, pada 14 Disember 2021 adalah bukti Kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan sambutan Hari Malaysia ke-59 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir Melaka.

“Usaha ini selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan Kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

“Umpama peribahasa; bersukat sama paras, bertimbang sama berat, Kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung,” ujarnya.

Perdana Menteri berucap selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia ke-59 Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka malam tadi.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffery G. Kitingan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa serta menteri-menteri kabinet yang lain.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, tanggal keramat 16 September, wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan.

Katanya, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia, tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.

“Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” tegasnya.

Ujar Perdana Menteri, buat julung kalinya, sambutan Hari Malaysia dianjurkan di luar Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, Pemilihan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir Melaka kali ini, sudah tentunya mengimbau kembali lipatan sejarah tanah air kita.

“Banda Hilir Melaka ini pernah menjadi saksi laungan pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari 1956, dan tanggal 30 Ogos 1957 pula, langit raya Banda Hilir ini menyaksikan turunnya Bendera Union Jack, tepat jam 6.30 petang,” ujarnya.

Menurutnya, sejarah perjalanan bumi bertuah ini penuh dengan lembaran yang berwarna-warni. Sebagai tanah yang pernah dijajah, hari ini Malaysia berdiri utuh sebagai sebuah negara yang aman, makmur, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan. – SM

(Visited 97 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button