Nasional

Menangkah perjuangan PKM dengan ‘pulangnya’ abu mayat Chin Peng?

“Kami sudah menang”. Itu tulisan ringkas seorang warganet yang secara sinis menyindir kejayaan kumpulan yang bersimpati dengan ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng membawa pulang abu mayatnya ke Malaysia tanpa disedari oleh sesiapapun termasuk pihak berkuasa.

Kejayaan kumpulan itu membawa pulang abu mayat Chin Peng mengejut rakyat di negara ini.

Cubaan membawa mayat bekas pengganas itu telah dilakukan sejak kematian beliau pada 16 September 2013 di Bangkok, Thailand namun gagal kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional begitu tegas tidak membenarkan mayat Chin Peng dibawa pulang.

Masyarakat tidak sangka abu mayat seorang pengganas yang semasa hidupnya begitu angkuh tidak mahu memohon menjadi warganegara Malaysia telah berjaya ‘diseludup’ masuk.

Menurut bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Chin Peng mempunyai dua peluang untuk memohon menjadi warganegara namun beliau menolak.

“Berdasarkan JPN, Perjanjian Hatyai telah diberikan dua kali (peluang) kepada beliau tetapi malangnya beliau menolak.

“Dan mengikut semakan yang dilakukan JPN tidak ada rekod yang menyebut bahawa Chin Peng pernah menjadi warganegara Malaysia kecuali beliau menggunakan nama lain,” katanya Ahmad Zahid.

Waris-waris yang menderita dengan kekejaman Chin Peng dan rakan-rakan komunisnya masih menceritakan bagaimana cara ahli keluarga mereka dibunuh oleh kumpulan pengganas itu. Ada yang masih ingat ibu mereka yang sedang mendukung anak kecil ditikam dengan lembing.

“Masih saya ingat apabila ibu sempat merayu kepada komunis, dengan menyebut ‘tauke’ jangan dibunuh anak saya, tapi tanpa belas kasihan komunis menikam bertalu-talu hingga ibu dan adik tidak bernyawa,” kata seorang warga emas, Tik Sulong yang kisahnya boleh dibaca di internet.

Seorang pemerhati politik dan juga seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusof mempersoalkan kenapa berita mengenai abu mayat Chin Peng dihebohkan selepas dua bulan dibawa masuk.

“Mengapakah hanya setelah dua bulan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia baru berita ini dihebahkan kepada rakyat? Dan mengetahui sensitiviti isu ini kepada rakyat, apakah tujuan berita ini dihebahkan kepada rakyat?

“Bolehkah dibayangkan apa perasaan keluarga ankatan tentera, anggota polis dan orang awam  yang dibunuh atau diseksa oleh PKM bila mengetahui berita ini?” tulis Dr. Kamarul Zaman.

Ada yang berangapan bahawa berita kejayaan kumpulan yang simpati dengan Chin Peng membawa pulang abu mayat ketua pengganas komunis itu sengaja diumumkan sebagai simbol kemenangan perjuangan PKM di Malaysia.

“Bukannya tak boleh simpan saja di negara lain. Tapi tetap nak bawa masuk Malaysia, untuk memberitahu kita satu perkara sahaja, yakni – “Kami sudah menang”, tulis Amar Yusoff.

“Orang lain berjuang sehingga ke titisan darah terakhir tapi Chin Peng memperjuangkan fahaman komunis sehingga ke titisan debu mayatnya yang terakhir! Takkan itu pun tak faham-faham juga bila abu debu mayatnya dibawa balik?  Aku menahan sabar bila ada yang siap boleh gelak, dengan abu mayat pun nak takut ke?,” tulis Siti Kamsari.

Adakah dengan kejayaan membawa pulang abu mayat Chin Peng memberi maksud kejayaan perjuangan komunis yang ternyata telah  terkubur apabila Perjanjian Hatyai iaitu perjanjian damai antara PKM dan kerajaan Malaysia ditandatangani pada 1989?

Atau adakah ia membawa maksud yang lain iaitu sebagai simbol kebangkitan semula perjuangan kumpulan yang bersimpati dengan perjuangan Chin Peng dan komunis serta penggerak fahaman yang sealiran dengan PKM yang mahu menubuhkan negara republik?

Penyebaran ideologi tidak memerlukan perjuangan bersenjata, cukup hanya dengan penyebaran pemikiran dan propaganda. Pihak berkuasa perlu siasat.-SM

 

 

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button