Nasional

Tangani COVID-19 dengan pendekatan luar biasa – Raja Muda Perlis

PENDEKATAN luar biasa dan berbeza diperlukan dalam menangani penularan pandemik Covid-19  yang semakin membimbangkan di seluruh dunia, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda melahirkan kebimbangan itu apabila menyaksikan trend penambahan kes yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

“Kita kini sedang berperang dengan musuh yang bernama COVID-19. ‘Musuh’ yang begitu ‘licik’ di mana orang biasa setakat ini belum mampu untuk memikirkan sebarang strategi bagi menanganinya,” tambah baginda.

Ini bukanlah peperangan ‘biasa’ kerana virus ini juga mampu menyebabkan kemelesetan ekonomi global yang drastik.

Melumpuhkan sistem sesebuah negara dan mengakibatkan angka kematian yang sangat tinggi di seluruh dunia.

Sehingga pada satu ketika semalam sebanyak 723,732 kes positif dan 34,000 kes kematian direkodkan.

Banyak negara termasuk kuasa-kuasa besar sedang mengalami krisis kewangan, perkhidmatan dan bekalan barangan termasuk perubatan yang meruncing akibat peningkatan jumlah kes positif Covid-19 dan ditambah dengan sekatan pergerakan yang terpaksa dilaksanakan.

Sebab itu titah baginda, perlu bertindak dan menggunakan pendekatan berbeza malah luar biasa bagi mengekang penularan pandemik ini demi keselamatan semua pihak dan dalam masa yang sama bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh negara dan rakyat dari pelbagai sudut.

“Usaha meningkatkan aspek kawalan di seluruh pelusuk negara perlu dilaksanakan bagi memastikan arahan kawalan pergerakan dan ‘Penjarakan Sosial’ dipatuhi oleh semua penduduk di Malaysia, sekali gus memutuskan rantaian virus ini.

“Semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi menjayakan usaha memerangi pandemik ini,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Pendekatan seperti sekatan jalan raya besar-besaran oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja di jalan-jalan utama tetapi juga di plaza tol, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa buah lokasi yang mencatatkan jumlah kes positif yang tinggi, penggunaan dron bagi tujuan tinjauan dan pemantauan di kawasan-kawasan yang dikenakan PKPD dan tindakan tegas ke atas pihak yang ingkar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Sehingga semalam juga difahamkan terdapat 94 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara, manakala 62 pesakit terpaksa diberikan bantuan pernafasan. Angka ini amat membimbangkan, malah menakutkan dan usaha menyeluruh perlu dilaksanakan oleh semua bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan segera.

Dalam hubungan itu, Raja Muda Perlis yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menitah maklumkan bahawa pihak MAIPs telah megambil langkah proaktif bagi menangguhkan pelaksanaan Solat Jumaat bermula 13 Mac 2020 lalu, serta menghentikan serta-merta majlis-majlis dan program agihan zakat yang memerlukan pengumpulan khalayak bagi memenuhi arahan PKP selain melaksanakan inisiatif agihan terus ke akaun penerima asnaf tanpa perlu berkumpul.

Penangguhan aktiviti di masjid dan surau di seluruh Perlis yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2020, dilanjutkan sehingga ke tarikh yang bakal ditentukan serta diumumkan kelak oleh pihak Kerajaan demi kepentingan dan maslahat bersama. – SM

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button