Nasional

PM bangga calon SPM 2020, cikgu disifatkan hebat

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin melahirkan rasa bangga dengan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia 2020 dan guru yang bertungkus lumus mengajar ketika dunia bergelut dengan pandemik Covid-19.

Muhyiddin menyifatkan pelajar yang mendapat keputusan SPM masing-masing hari ini sebagai hebat.

“Anda semua diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

Harapan tinggi diletakkan kepada pelajar yang mengambil peperiksaan agar semua usaha membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Muhyiddin mendokana agar semua pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang.

Namun, kepada murid yang tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan, beliau menasihatkan mereka agar tidak berputus asa.

Namun, kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan bukan bererti ia sebagai satu penamat.

“Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.

“Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini,” kata Muhyiddin.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2020 yang menyaksikan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 juga lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan Gred Purata Nasional (GPN) adalah 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019.-SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button