
PM: ASEAN Muncul Kuasa Baharu Dalam Masa Depan Tenaga Global
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa rantau ASEAN kini dilihat sebagai kuasa baharu yang mampu memacu pertumbuhan tenaga dunia secara mampan dan realistik, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan krisis tarif global.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Energy Asia 2025, satu persidangan antarabangsa anjuran PETRONAS yang menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka industri tenaga global.
Sebelum majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama ketua-ketua syarikat tenaga utama dunia termasuk PETRONAS, OPEC, Aramco, TotalEnergies, ENI, S&P Global dan PTTEP.
“Kehadiran gergasi industri ini mencerminkan keyakinan dunia terhadap kepakaran serta keupayaan PETRONAS untuk menerajui ikhtiar perolehan tenaga di Asia,” katanya.
Turut hadir dalam sesi dialog tersebut ialah Setiausaha Agung OPEC, Haitham Al Ghais; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanné; serta Ketua Pegawai Eksekutif ENI, Claudio Descalzi.
Malaysia Komited Perkukuh Peralihan Tenaga
Anwar menegaskan bahawa keterjaminan tenaga menjadi tunjang kepada kebangkitan ekonomi Asia. Sehubungan itu, dasar yang menyeluruh diperlukan bagi mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan peralihan kepada tenaga boleh baharu dapat dilaksanakan secara tersusun dan mampan.
Malaysia, katanya, kekal komited bersama negara-negara ASEAN untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak tiga kali ganda kepada 11,000 gigawatt (GW) menjelang tahun 2030, selaras dengan wawasan karbon sifar bersih.
“Langkah PETRONAS menganjurkan Energy Asia merupakan ikhtiar penting dalam suasana global yang tertekan akibat tarif Amerika Syarikat dan ketegangan di Timur Tengah susulan serangan ganas Israel terhadap Iran,” ujarnya lagi.
Majlis Energy Asia 2025 menjadi pentas penting kepada pemimpin industri dan pembuat dasar untuk menilai pendekatan realistik terhadap pembangunan tenaga – antara cabaran utama abad ke-21 yang kini dipacu oleh ketidakstabilan geopolitik, perubahan iklim dan ketidaksamarataan akses tenaga.