Nasionalpilihan

Mohd. Rafiq harap diterima di UMNO Bahagian Tangga Batu

Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen memberi jaminan beliau tidak akan melakukan sesuatu di luar dugaan atau menganggu gugat dengan
kehadirannya yang diterima semula keahlian oleh UMNO.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menerima permohonannya sebagai ahli parti berkuatkuasa 18 Mac iaitu
selepas pemilihan parti berakhir.

Terdahulu Rabu lepas Mesyuarat Pengurusan UMNO dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan telah meneliti permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu
sebelum diajukan kepada MT yang bersidang malam tadi.

Mohd. Rafiq berkata, jika dia diterima untuk menyertai mana-mana cawangan di UMNO Bahagian Tangga Batu beliau berjanji akan akur dengan segala arahan kepada kepimpinan bahagian baharu
dipilih bulan depan.

“Kehadiran saya hanya mahu meneruskan sisa-sisa perjuangan politik dan saya tidak mahu kehadiran saya dianggap menjadi duri dalam daging.

“Saya ikhlas menyertai UMNO semula dan saya beri jaminan tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar etika parti dan akur dengan sebarang keputusan jika diterima menjadi ahli di mana-mana
cawangan.

“Jutaan terima kasih diucapkan Presiden, Timbalan Presiden, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli MT dan Ketua
UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad kerana memberi peluang untuk saya kembali berjuang bersama UMNO,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau adalah bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO digantung keahlian parti selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin UMNO pada 2016 atas satu pertuduhan iaitu didapati menghasut dan merancang
untuk melakukan sabotaj terhadap Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Mengulas lanjut Mohd. Rafiq berkata, dalam masa terdekat ini beliau akan mengadakan pertemuan dengan Mohamad Ali bagi membincangkan mengenai hasratnya ingin menyertai UMNO Bahagian Tangga Batu atau sebaliknya.

Katanya, beliau sedar keputusan yang dibuatnya apabila menghantar permohonan menyertai UMNO semula minggu lepas semula yang ketika ini tidak popular mungkin tidak dipersetujui oleh semua
pihak.

“Namun, saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar sejak dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO
adalah ketentuan Allah swt,” ujarnya.

Beliau menegaskan keputusan yang diambilnya bersama rakan-rakan perjuangannya bukan kerana mengejar kedudukan UMNO yang telah berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya tegas beliau lagi, keputusan tersebut dibuat setelah tidak lagi bersama Bersatu dan menyokong UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang ketika itu tidak diketahui parti mana
bakal mentadbir negara.

“Saya sedar, kehadiran saya bukan ketika UMNO melalui zaman kegemilangannya seperti sebelum ini sebaliknya UMNO melalui cabaran terhebat dalam sejarahnya kerana hanya berjaya memperolehi 26
kerusi parlimen pada PRU-15 baru-baru ini,” ujarnya.

Katanya, beliau ikhlas, bertekad dan beriltizam untuk membantu serta berjuang bersama kepimpinan UMNO negeri dan Bahagian Tangga Batu untuk mengembalikan semula sokongan serta kepercayaan
rakyat kepada UMNO. – SM

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button