Nasional

KKM diminta pertimbangkan beri cuti tanpa rekod

MELAKA 19 Februari – Wabak Covid-19 wajar dimasukkan dalam senarai penyakit berjangkit bagi membolehkan petugas kesihatan atau petugas barisan hadapan diberikan cuti tanpa rekod selama lima hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pertimbangan itu wajar diberikan kepada petugas kesihatan dengan mengambil kira jika anak mereka disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, timbul masalah kepada ibu bapa barisan hadapan itu untuk menjaga anak mereka yang terpaksa dikuarantin antara tujuh hingga 10 hari hingga memaksa mereka mengorbankan cuti tahunan.

“Adalah tidak adil jika mereka terpaksa bekerja ataupun terpaksa mengambil cuti tahunan untuk menjaga anak-anak yang positif.

“Sehubungan itu, saya mohon pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memasukkan Covid-19 positif dimasukkan ke dalam senarai penyakit berjangkit yang melayakkan untuk petugas kesihatan mengambil cuti tanpa rekod selama 5 hari.

“Jika isteri dapat lima hari cuti tanpa rekod dan suami juga lima hari berikutnya maka mereka ini mampu untuk menjaga anak-anak yang dikuarantin selama 10 hari dengan senang hati dan tiada tekanan jika mereka diminta kembali bekerja selepas itu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Penambahbaikan itu disuarakan golongan ibu bapa bekerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam yang telah mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) baharu kontak rapat, berkuat kuasa pada 15 Februari lalu.

Justeru kata Muhamad Akmal, beliau merayu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk mempertimbangkan mengenai cadangan tersebut.

Menurutnya, perkara itu juga secara langsung dapat memberi kelegaan kepada golongan barisan hadapan yang sehingga kini sanggup berkorban dalam memastikan keselamatan negara.

(Visited 316 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button