
PM Anwar Umum Naik Taraf Infrastruktur TLDM Lumut, Tegas Komitmen MADANI Perkasa Pertahanan Maritim
LUMUT, 15 Jun 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa projek pembangunan infrastruktur utama bagi memperkasakan kemudahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan Lumut, Perak.
Dalam lawatan sulungnya ke pangkalan berkenaan, Anwar menyatakan penghargaan kepada warga pertahanan negara atas semangat waja dan pengorbanan mereka mempertahankan keselamatan maritim tanah air.
“Saya disambut bukan sahaja oleh angin Selat Melaka, tetapi oleh semangat luar biasa warga TLDM. Mereka inilah benteng samudera yang menjamin kelangsungan negara,” katanya dalam ucapan bersemangat kepada anggota yang hadir.
Empat Projek Utama Diluluskan
Sebagai tanda komitmen kerajaan di bawah kerangka Malaysia MADANI, Perdana Menteri mengumumkan kelulusan bagi empat inisiatif pembangunan utama:
- Naik taraf sistem agihan bekalan voltan tinggi (33kV)
- Penggantian tangki operasi Bulk Fuel Installation (BFI)
- Naik taraf jeti operasi Tambatan Pangkalan Lumut
- Pembinaan Klinik Pakar Baharu serta naik taraf Hospital Angkatan Tentera Lumut
Anwar menjelaskan bahawa sebahagian besar projek pembangunan sedia ada telah diselesaikan, manakala selebihnya dalam proses pelaksanaan. Beliau menyeru agar projek yang masih berjalan dapat disegerakan demi kebajikan dan kesejahteraan anggota.
“Ilham MADANI bukan hanya slogan. Ia terjelma dalam usaha memastikan anggota tentera kita mendapat kemudahan yang selayaknya – dalam kesihatan, logistik dan operasi,” tegas beliau.
Pertemuan Erat dengan Warga TLDM
Lawatan ini turut memberi ruang kepada Perdana Menteri beramah mesra dengan warga TLDM serta menerima taklimat berhubung keperluan semasa pangkalan.
“Pertemuan ini memperkukuh iltizam saya agar kemudahan dan keselesaan yang mereka wajar nikmati dapat diperluas,” ujar beliau.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa pengukuhan pangkalan TLDM Lumut akan mempertingkat kesiapsiagaan pertahanan maritim negara seiring cabaran geopolitik serantau.
Komitmen Berterusan kepada Pertahanan Negara
Lawatan ke TLDM Lumut ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh pertahanan negara melalui pendekatan holistik yang menyantuni kebajikan anggota serta keperluan strategik negara.
“Negara ini berdiri gagah kerana keringat dan pengorbanan kalian,” kata Anwar, menutup ucapannya penuh penghargaan