Nasional

PM Anwar: MADANI Bukan Slogan, Tetapi Iltizam Membela Rakyat

LUMUT, 15 Jun 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan MADANI yang diangkat kerajaan bukan sekadar slogan kosong, sebaliknya merupakan iltizam dan komitmen kukuh untuk membela rakyat, bermula daripada perkara-perkara asas.

Dalam ucapannya sempena majlis MADANI Rakyat di Lumut hari ini, beliau mengumumkan beberapa langkah konkrit termasuk memperluaskan Hospital Manjung serta membaik pulih 863 tandas di sekolah-sekolah, dengan tambahan 200 lagi yang sedang dalam proses baik pulih.

“Pembangkang panggil saya ‘Perdana Menteri Tandas’, tetapi saya tidak kisah. Yang penting bagi saya adalah keselesaan anak-anak kita yang menuntut ilmu di sekolah. Kita tidak hanya boleh melihat projek-projek besar sahaja seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) atau Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), tetapi perkara asas rakyat mesti ditangani terlebih dahulu,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pentadbiran negara bukan sekadar mengejar angka KDNK semata-mata, tetapi harus menegakkan nilai-nilai kemanusiaan dengan penuh keprihatinan.

“Kadangkala untuk membina negara semula, kita perlu bermula dari bawah—dari tandas sekolah hingga ke dasar ekonomi. Matlamat kita adalah jelas, iaitu ‘to learn to fly again’,” ujar beliau.

Perdana Menteri juga menyatakan pentingnya dialog terus antara rakyat dengan kerajaan, sambil merujuk kepada masalah kesalinghubungan internet di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang berjaya diselesaikan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menyentuh isu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menjadi perbahasan rakyat, Anwar menjelaskan cukai yang dikenakan ke atas barangan import seperti avocado bertujuan mendapatkan dana bagi pembiayaan perkhidmatan penting rakyat seperti hospital, sekolah dan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Saya tegaskan tiada kompromi terhadap rasuah. Hasil cukai ini akan kita pulangkan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan yang telus, termasuk gaji penjawat awam dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya lagi.

Beliau mengakhiri ucapan dengan seruan agar rakyat dan kerajaan terus berganding bahu bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam pelbagai bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), automotif serta sains.

“Perak akan menjadi saksi kebangkitan Malaysia, dengan maruah, disiplin dan hala tuju yang jelas,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button