Nasional

PM buat lawatan rasmi ke Thailand esok atas jemputan Prayuth

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Thailand esok di mana beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Prayuth Chan o-cha untuk membincangkan langkah ke hadapan dalam mengukuhkan kerjasama pelbagai aspek antara dua negara.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) berkata, lawatan Anwar ke Thailand selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 adalah atas jemputan Prayuth.

“Mesyuarat itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan cara memperkukuhkan lagi kerjasama pelbagai rupa. Bidang tumpuan termasuk kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek ketersambungan utama merentasi sempadan darat,” katanya.

Kedua-dua perdana menteri itu akan menyaksikan pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama tenaga dan ekonomi digital.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

“Lawatan itu mencerminkan hubungan dua hala yang erat dan terjalin lama antara Malaysia dan Thailand dibina atas kepercayaan dan perkongsian bersama.

“Hubungan rapat itu telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua pihak berpunca daripada kerjasama meluas dalam pelbagai sektor terutamanya melalui kerjasama rentas sempadan,” katanya.

Anwar akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia yang akan merangkumi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pegawai daripada kementerian dan agensi berkaitan. – SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button