Nasional

Alhamdulillah! Kerajaan PH kalah di mahkamah, kata Najib

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan untuk lucut hak wang berjumlah kira-kira RM192.97  juta milik UMNO dan RM300,000 daripada Wanita MCA, Binsabi Sdn Bhd (RM777,250) dan Perano Sdn Bhd (RM337,734) dianggap sebagai kekalahan Kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak wang dalam akaun bank milik UMNO dan MCA itu telah dibeku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 di bawah akta AMLA dengan alasan ia pernah menerima dana dari 1Malaysia Development Berhad.

Di bawah akta tersebut, menurut Najib, akaun-akaun tersebut hanya dibenarkan untuk dibeku selama 90 hari sahaja.

“Bagaimanapun, pembekuan dilanjutkan lagi hingga tempoh maksima setahun oleh Jabatan Peguam Negara.

“Selepas tempoh satu tahun, akaun bank patut dibebaskan jika tidak ada pendakwaan jenayah di bawah AMLA yang melibatkan akaun-akaun bank tersebut.

“Tetapi kerajaan PH tak puas hati. Maka kerajaan PH memulakan saman sivil lucut hak (bukan dakwaan jenayah) ke atas akaun-akaun bank tersebut supaya mereka terus dibekukan. Alhamdulillah! Kerajaan PH kalah di mahkamah hari ini,” kata Najib.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang membuat keputusan itu berkata, tujuh cek berjumlah RM245 juta yang diterima daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak  telah dibelanjakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

“RM192,965,413.65 yang dibekukan tidak boleh dikatakan sebagai wang yang diterima oleh UMNO daripada Najib,” katanya.

Beliau berkata, wang yang diterima daripada Najib telah lama dibelanjakan dan jumlah wang yang dibekukan itu diperoleh daripada syarikat-syarikat dan sumber-sumber lain.

Zaini, bagaimanapun membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat untuk membekukan wang milik UMNO dan MCA sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menurut Najib, walaupun dalam keadaan sukar kerana akaun bank telah dibekukan, UMNO dan MCA masih mampu bertahan.

“Malah, dengan sokongan kawan-kawan dan rakyat kita masih mampu melawan PH dan menang lima PRK (pilihan raya kecil) berturut-turut.

“Bayangkan jika dulu kita bekukan akaun DAP untuk 21 bulan masa ahli mereka sendiri membuat laporan polis bahawa parti mereka pernah menerima dana Yahudi? Sudah tentu mereka dah lama berguling-guling,” kata Najib.

BACA ARTIKEL: Mahkamah tolak permohonan kerajaan lucut wang milik UMNO, MCA

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan wang daripada empat entiti UMNO pada bulan Jun 2018 kerana mendakwa ia ada kaitan dengan skandal 1MDB.

Dalam kes UMNO, kerajaan telah membuat permohonan pada 18 Jun tahun lalu untuk merampas wang itu menjelang 12 bulan tarikh akhir bagi membolehkan wang itu terus dibekukan. -SM

 

 

 

 

 

(Visited 512 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button