
PM Adakan Pertemuan Singkat dengan Premier Sarawak di Kuching
KUCHING, 22 Jun 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan singkat dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg serta barisan kepimpinan kanan negeri sejurus tiba di Kuching petang ini.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu membincangkan pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama, khususnya dalam usaha memperkukuhkan hubungan serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Alhamdulillah, kami dapat membincangkan pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama, termasuk usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” ujar Perdana Menteri dalam satu kenyataan ringkas.
Lawatan ini turut memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara melalui prinsip #SegulaiSejalai, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif.