Nasional

PLUS ambil tiga pendekatan strategik hadapi Tahun Baharu Cina

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka peningkatan  trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada Hari-hari Puncak di rangkaian lebuh rayanya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

Ini merupakan peningkatan hampir 20 peratus pada hari-hari biasa di rangkaian Lebuhraya PLUS. Jangkaan Hari-hari Puncak di Lebuhraya PLUS adalah pada 24 Januari, 25 Januari, 31 Januari dan 1 Februari 2025.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, “PLUS mengambil tiga pendekatan strategik sebagai persediaan menghadapi peningkatan trafik sempena perayaan Tahun Baharu Cina dengan memberi tumpuan khusus kepada pengurusan trafik dan insiden yang lebih efisien.

“Ini termasuk pengaktifan 25 lokasi Smart Lane dan mempertingkat kesiapsiagaan aset dan anggota pasukan tindak balas kecemasan (ERT) untuk menguruskan insiden lebuh raya.

“Selain tu, berdasarkan data pola pergerakan trafik musim perayaan, PLUS juga menyediakan aplikasi MyPLUS-TTA untuk memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka sekaligus membantu pengagihan trafik,” katanya.

Di samping itu, PLUS juga telah menambahbaik kemudahan awam di lebih 50 lokasi sejak tahun 2023 dan menambah 50 tandas kabin bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa.

“Tambahan lagi, pengguna lebuh raya juga boleh menikmati diskaun 10% bagi setiap transaksi pembelian tanpa tunai bernilai RM15 ke atas di kesemua kawasan rehat PLUS.” jelas beliau pada sesi taklimat kepada media yang
diadakan di Persada PLUS, hari ini.

Taklimat tersebut telah diadakan bersama-sama rakan strategik PLUS iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkenaan persediaan PLUS menguruskan peningkatan jumlah kenderaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

Turut hadir adalah Supt. Khairul Azhar Ismail, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria
Ahmad Zabidi.

Pengaktifan laluan Smart Lane di 25 lokasi kritikal di lebuh raya

Bagi menguruskan trafik yang efisien sempena musim perayaan akan datang, PLUS akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 25 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi melancarkan pergerakan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.

“Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.

“Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti laluan Smart Lane melalui paparan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda pemberitahuan yang dipasang untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi tertentu, jelas Zakaria.

PLUS juga menyarankan pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan semasa oleh petugas di lokasi dan memberi kerjasama sepenuhnya ketika Smart Lane diaktifkan.

Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain, di mana tiada laluan Smart Lane diaktifkan.

Pemberhentian sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan

Selain itu, PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lebuh rayanya bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025.

Dalam tempoh ini, tiada penutupan lorong akan dijalankan kecuali ianya melibatkan kerja-kerja pembaikan kritikal, kecemasan dan pengalihan kemalangan untuk memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Sepanjang tempoh musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang, kerja-kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan laluan Sedenak-Kulai, Johor akan diteruskan mengikut jadual perancangan semasa tempoh di atas.

“Kerja-kerja yang sedang dijalankan di lokasi ketika ini hanya merangkumi kerja-kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan dan pengalihan utiliti yang tidak akan melibatkan sebarang penutupan lorong di laluan utama lebuh raya,” Datuk Nik Airina.

Beliau turut menyatakan PLUS akan memastikan semua aspek keselamatan dan kelancaran trafik di lokasi sentiasa dikawal rapi sepanjang pelaksanaan kerja-kerja di tapak pembinaan lorong tambahan laluan Sedenak-Kulai supaya ia tidak mengganggu kelancaran aliran trafik sedia ada.

Sehubungan itu, PLUS memohon kerjasama pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan papan tanda dan petugas di lokasi semasa melalui kawasan terbabit.

Pengagihan Trafik melalui jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA Sempena musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina akan datang, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal bagi menikmati perjalanan yang lancar di lebuh raya.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi perjalanan di antara 24 Januari hingga 2 Februari 2025.

MyPLUS-TTA merupakan pendekatan digital PLUS untuk membantu orang ramai merancang dan memilih perjalanan yang paling sesuai untuk musim-musim perayaan.

Berdasarkan data pola perjalanan musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun lalu, pengguna lebuh raya dijangka mengalami peningkatan tempoh waktu perjalanan melebihi 40 peratus sekiranya memilih perjalanan di luar cadangan waktu perjalanan MyPLUS-TTA (bergantung kepada keadaan trafik semasa, insiden atau hal-hal luar jangka).

Oleh itu, PLUS menyeru orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan
MyPLUS-TTA yang dicadangkan menerusi aplikasi PLUS, bukan sahaja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang untuk Balik Kampung tetapi juga bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti.

Kira-kira 4,500 keseluruhan petugas dalan ekosistem Lebuhraya PLUS dan LPT2 Pada musim perayaan ini, PLUS turut menyediakan kira-kira 4,500 petugas dalam ekosistem lebuh raya dan bersedia memberi bantuan untuk melancarkan perjalanan pengguna.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button