Nasional

PKS ibarat tulang belakang ekonomi negara, sumbang 38.2 peratus KDNK

Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PKS) disifatkan sebagai tulang belakang ekonomi tempatan kerana menerajui 97.2 peratus penubuhan perniagaan.

Dari sudut positif, PKS menyumbang 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping kira-kira 7.3 juta pekerjaan berjaya diwujudkan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, tanpa pertumbuhan menggalakkan, sukar bagi ekonomi negara disusun menjadi lebih baik.

“Lapan pakej rangsangan PEMULIH bernilai RM 530 bilion diperkenalkan pada akhir Jun 2021 dan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2021.

“Tujuannya adalah untuk menjaga kebajikan rakyat, menyokong perniagaan serta meningkatkan vaksinasi,” katanya.


Muhyiddin berkata demikian  ketika mengulas keupayaaan PKS dalam merancakkan ekonomi negara selepas berdepan Covid-19.

Dalam pertemuan Muhyiddin bersama NGO dan persatuan perniagaan, beliau dapati banyak cabaran yang telah mereka hadapi.

“Satu maklum balas utama yang menyentuh saya ialah kesan pelaksanaan sistematik Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dan program vaksinasi.

“Ujar mereka, pelaksanaan sistematik PPN dan program vaksinansi dipuji kerana pantas dan telus,” katanya.

Tambah beliau, peniaga tempatan juga menghargai strategi pemulihan yang dilakukan MPN dalam membantu mereka merangka pergerakan stok dan pekerja.

“Kami telah membelanjakan lebih RM15 bilion untuk subsidi gaji untuk membantu lebih daripada 300,000 perniagaan kebanyakannya PKS, untuk menyelamatkan lebih daripada 3 juta pekerjaan.

“Kami juga memberi lebih daripada RM 50 juta bakul makanan apabila kami melakukan penguncian kepada golongan memerlukan,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MPN juga telah memberi lebih daripada RM 22 bilion bantuan tunai langsung semasa pandemik kepada 10.1 juta penerima.

Sebanyak RM 5 bilion peruntukkan telah diberikan untuk mendapatkan vaksin lebih cepat berbanding negara lain.

“Dasar-dasar yang Kerajaan ambil semasa saya menjadi Perdana Menteri, semuanya telah disahkan sekarang.

“Tiga suku berturut-turut pertumbuhan ekonomi yang kita nikmati hari ini, semuanya disebabkan oleh dasar berani yang kita ambil untuk melindungi ekonomi dan membukanya semula secara sistematik melalui NRP,” kata Muhyiddin.

Dalam masa sama, Muhyiddin berharap pemulihan ini akan menjadi lebih baik dan sekata kepada semua sektor.

“Kita memerlukan proses pemulihan yang seimbang supaya jurang perbezaan gaji rakyat Malaysia dapat ditutup,” katanya.

Sementara itu, walaupun negara sedang menghadapi inflasi yang tinggi, tetapi pertumbuhan suku kedua negara ialah 8.9%, ia merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara.

Banyak isu-isu global yang telah mempengaruhi dasar- dasar negara terutamanya perang di Ukraine, yang telah mengganggu rantaian bekalan global dan membawa kepada pengetatan dasar monetari di negara maju.

Ini membawa kepada penurunan Ringgit dan juga kenaikan kadar OPR oleh BNM.

Langkah-langkah yang boleh diambil bagi menghadapi inflasi ini adalah dengan memastikan jaringan keselamatan sosial kita kukuh serta sistem kebajikan seperti e-kasih perlu dirombak semula.

“Pada masa yang sama, kita juga mesti mewujudkan ekonomi yang memberi tumpuan kepada mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang berpatutan.

“Secara berasingan, kita mesti memastikan Indeks Garis Kemiskinan yang saya semakan sebagai Perdana Menteri pada 2020 daripada RM 980 kepada RM 2,208, terus diselaraskan.

“Ini akan membolehkan kami menyasarkan bantuan kami kepada golongan miskin dengan lebih baik, dan secara serius mengurangkan kemiskinan termasuk kemiskinan bandar,” tambah Muhyiddin.

MPN berharap, kerajaan akan datang akan lebih fokus dalam memberi keutamaan menyelesaikan masalah negara dan responsif kepada keperluan rakyat.

(Visited 34 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button