Rencah Hidup

PKPP: Zoo Taiping dan Night Safari terima 1,250 pengunjung

JIKA Zoo Melaka membenarkan kemasukan 500 pengunjung mengikut sesi, Zoo Taiping dan Night Safari yang dijadual dibuka kepada orang ramai Isnin depan pula membenarkan 1,250 pengunjung.

Bagaimanapun semua pengunjung ke Zoo Taiping dan Night Safari perlu akur dengan peraturan kawalan yang ketat termasuk mengehadkan bilangan pengunjung bagi tempoh tertentu.

 

Pengarah zoo berkenaan, Dr. Kevin Lazarus berkata, sebanyak dua sesi lawatan dibenarkan kepada pengunjung iaitu sesi pertama dari 8 pagi hingga 6 petang dan sesi kedua dari 8 hingga 10 malam.

Hanya 1,250 orang dibenar memasuki zoo berkenaan bagi tempoh dua hingga tiga jam, penjual tiket di kaunter perlu memastikan hanya 500 tiket dijual dalam masa satu jam, dan hanya ketua keluarga dibenar beratur untuk membeli tiket.

“Selain itu, para pekerja akan membuat pemeriksaan suhu, mencatat butiran pengunjung, selain memastikan ada jarakan sosial, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya kepada BERNAMA.

Pada Selasa lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP bersetuju membenarkan semua zoo beroperasi mulai semalam.

Dr. Kevin berkata, kerja-kerja membersihkan sekitar Pavilion, pintu masuk utama dan kaunter penjualan tiket di Zoo Taiping dan Night Safari seluas 13.75 hektar, dilakukan sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan kesemua haiwan di zoo berkenaan, meskipun ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

“Kos penjagaan haiwan dan makanan di sini mencecah RM160,000 sebulan dan pihak zoo sedang menilai kerugian yang dialami,” katanya.

Zoo Taiping dan Night Safari atau dulu dikenali sebagai Taman Mergastua Sultan Idris Shah ditubuhkan pada 7 Mac 1964, zoo tertua di negara ini menempatkan 1,300 haiwan daripada 200 spesies yang berlainan dari seluruh dunia. – SM

(Visited 531 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button