fbpx
Nasional

PKPP : Usah terburu-buru, rancang perjalanan – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan rakyat Perlis agar tidak terburu-buru untuk keluar dari rumah tanpa perancangan walaupun kelonggaran peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan bermula pada 10 Jun ini.

Titah baginda, berada di fasa pemulihan akhir memerlukan komitmen dan disiplin yang lebih tinggi daripada seluruh rakyat untuk sama-sama menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19 sepenuhnya.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, “Usahlah terburu-buru, dan rancanglah perjalanan dengan sebaiknya agar kelonggaran yang diberikan mencapai maksud dan tujuannya. Ingatlah saranan pihak Kerajaan agar selain menjaga keselamatan diri sendiri dan juga keluarga terdekat, kita juga hendaklah tidak menjadi penyebab kepada jangkitan khususnya kepada mereka yang kita sayangi yang terdiri daripada golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan yang mempunyai latar penyakit kronik.”.

Demikian menurut sebaran media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan singgah bagi melancarkan projek peningkatan sosio-ekonomi asnaf MAIPs berupa perniagaan sebuah gerai makan masakan goreng, sup Thai, satay, kebab dan nasi lemak yang diusahakan oleh Afiq Fikri Norizan, 26 tahun di hadapan bangunan pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Kangar yang telah mendapat agihan sumbangan MAIPs berjumlah RM5,000 bagi tujuan membaikpulih kontena (gerai) dan juga modal pusingan baru-baru ini.


Hadir sama mengiringi baginda ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama, Mohd Nazim menambah bahawa walaupun beberapa kelaziman dan kebiasaan baharu yang dilaksanakan sedikit sebanyak membataskan kehendak kita, umpamanya had dan Tatacara Prosedur Operasi (SOP) pelaksanaan aktiviti pengimarahan masjid, namun ianya terpaksa dilakukan setelah mengambil kira pelbagai sudut pertimbangan.

MAIPs sememangnya berhasrat untuk memberikan ruang seluasnya kepada masyarakat untuk mengimarahkan masjid seperti sedia kala, namun ianya terpaksa dilaksanakan buat masa ini melalui Tatacara Prosedur Operasi yang tertentu dan terhad demi menjaga kemaslahatan serta kepentingan bersama. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button