AgamaNegeri

MAIPs sumbang RM579,000 untuk aktiviti Pendidikan Islam JAIPs

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sumbangan berjumlah RM579,000 bagi tujuan aktiviti Pendidikan Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi tahun 2024 ini.

Sumbangan berkenaan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar kenangan sempena majlis penyampaian sumbangan MAIPs kepada JAIPs di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra baru-baru ini.

Berangkat sama mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Menyambut keberangkatan Baginda ialah Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Selain bagi tujuan aktiviti berkaitan peningkatan pendidikan oleh Bahagian Pendidikan JAIPs, peruntukan berkenaan juga adalah bagi tujuan pelantikan Nazir-nazir Sekolah Islam Perlis yang dilantik JAIPs melalui Tauliah MAIPs selaras dengan peruntukan dalam Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1988.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menunaikan solat jemaah selepas majlis penyerahan sumbangan MAIPs kepada JAIPs di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan kepada para Pekhidmat Majlis dan Agensi Bersamanya agar sentiasa komited dalam memastikan agenda Pendidikan Islam dapat disampaikan dengan sebaiknya, terutama dalam menerapkan pegangan agama yang sempurna di peringkat awal pendidikan.

“Adalah menjadi harapan agar semua pihak dapat menjulang agenda pendidikan Islam ke tahap yang lebih baik dalam membentuk modal insan kamil dan syamil yang menyumbang kepada pembangunan negara yang holistik,” titah Raja Muda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mendengar tazkirah selepas solat jemaah sempena sumbangan MAIPs kepada JAIPs di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP, Kampus Alam Pauh Putra baru-baru ini.

Pada majlis yang sama Mohd Nazim memaklumkan bahawa, ‘Bahagian Pendidikan JAIPs telah melaksanakan beberapa inisiatif pendidikan Islam selaras dengan agenda MAIPs dalam mempertingkatkan mutu pendidikan Islam di Perlis seperti pewujudan Kurikulum Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs), Pelaksanaan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs), Pengoperasian Tadika Islam Perlis (TIPs) termasuk penerbitan beberapa buku rujukan pengajaran pendidikan Islam di peringkat awal dan rendah’. – SM

(Visited 42 times, 4 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button