Nasional

PM umum kenaikan elaun pelajar tajaan Petronas

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kenaikan elaun pelajar tajaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Pada penyampaian Program Tajaan Pendidikan Petronas (PESP), Ismail Sabri mengumumkan kenaikan elaun buku dan bahan pengajian daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar tajaan syarikat minyak negara itu yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi di negara ini.

Pelajar tajaan Petronas yang mengikuti pengajian di universiti luar negara juga akan menerima tambahan elaun buku dan bahan pengajian sebanyak RM500.

“Kumpulan pelajar baharu yang baru menerima tajaan di bawah PESP akan menerima kenaikan elaun onboarding daripada RM4,500 kepada RM5,000,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian tajaan PESP.

Kenaikan kedua-dua elaun itu, katanya, akan berkuat kuasa serta-merta dan melibatkan 2,267 pelajar tajaan Petronas.

“Keputusan untuk menaikkan kedua-dua elaun itu dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya berharap segala bantuan (elaun) ini dapat membantu meringankan beban pelajar serta ibu bapa bagi memastikan masa depan anak-anak mereka lebih baik,” katanya.

Beliau kemudiannya menyampaikan tajaan PESP kepada pelajar dari seluruh negara.

Seramai 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 telah dianugerahkan dengan PESP.

Ini merupakan jumlah tajaan tertinggi yang diberikan dalam setahun oleh syarikat, dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin dan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia, termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program itu, telah mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion.

 

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button