Nasional

PKPP: 80 PATI, 6 penyeludup, seorang tekong ditangkap

PIHAK keselamatan berjaya menahan 80 orang pendatang tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh masuk ke dalam sempadan negara semalam.

Melalui Operasi Bentang, pihak keselamatan turut menahan enam orang penyeludup dan seorang tekong.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu, sejumlah 20 orang PATI berjaya ditahan di Sungai Nipah Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Pasukan Angkatan Tentera Malaysia membuat tangkapan selepas kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain ATM, Operasi Benteng turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain bagi mengekang kemasukan PATI yang berisiko menyebarkan Covid-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” kata Ismail Sabri.

Dua kluster di Sabah iaitu Kluster Benteng LD dan Kluster Laut disebarkan oleh PATI.

Sementara itu Ismail Sabri turut memberitahu, PDRM telah menahan 512 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Daripada jumlah itu, seramai 452 individu telah dikompaun manakala 59 individu direman dan 1 individu lagi dijamin,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Antara kesalahan termasuk aktiviti di dalam pub dan kelab malam (294), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103) dan private party (56).

Turut ditahan kerana gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14), premis beroperasi melebihi tempoh (8), disyaki menjalankan aktiviti pelacuran (4) dan gagal mematuhi arahan kuarantin PKPD (1).

Sebanyak 2,663 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,825 anggota telah membuat pemantauan di 3,989 pasar raya, 5,405 restoran serta 1,331 penjaja, 1,146 kilang, 3,860 bank dan 663 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,146 terminal pengangkutan darat, 211 terminal pengangkutan air serta 108 terminal pengangkutan udara. -SM

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button