fbpx
Uncategorized

PKPDB di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna

EMPAT daerah di Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar  Secara Pentadbiran.
PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini sehingga 12 Oktober. Perintah tersebut  melibatkan seramai 962,661 orang penduduk.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan-kawasan tersebut.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan COVID-19 di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September 2020.
Daripada jumlah itu Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes),” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.
.
PKPDB  dilaksanakan bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam daerah berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.
Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
Semua aktiviti perniagaan juga dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan di empat daerah terlibat.
Pengkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPDB dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB ditutup.
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat bagi memastikan penduduk mematuhi perintah tersebut.
“Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” kata Ismail Sabri.
Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah seperti berikut : Lahad Datu : 089-881255; Tawau : 089-752222; Kunak : 089-851222 dan
Semporna : 089-782020.-SM
(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button