Sukan

Presiden MABA cuti susulan insiden imej Jalur Gemilang bintang pecah lima

ATAS dasar tanggungjawab terhadap organisasi, Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lua Choon Hann secara sukarela mengambil cuti dengan segera bagi memberi ruang kepada proses siasatan pihak berkuasa yang masih berjalan.

Keputusan itu dibuat ekoran insiden paparan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa majlis perasmian Kejohanan Kebangsaan Piala Lum Mun Chak bawah 15 tahun pada 25 Nov lepas.

“MABA akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan dengan penyiasatan ini. MABA tekad dengan pendirian bahawa insiden ini tidak disengajakan oleh pihak kami dan adalah disebabkan kecuaian.

Pihak MABA akan mengambil langkah sepatutnya untuk memperbaiki prosedur persatuan dan meningkatkan kemahiran kakitangan kami demi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini pada masa hadapan,” kata MABA dalam satu kenyataan.

MABA juga turut menamatkan kontrak, syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan ‘penstriman langsung’ ketika perasmian kejohanan itu.

Insiden yang berlaku ekoran syarikat terbabit telah menghasilkan serta memaparkan paparan Jalur Gemilang yang salah pada skrin diod pancaran cahaya (LED) semasa lagu kebangsaan dimainkan.

“MABA telah menamatkan kontrak mereka pada hari kejadian. Pihak kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya berdasarkan keputusan siasatan yang sedang dijalankan,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button