Nasional

KPDN pantau scam penjualan minyak masak dalam talian

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kebelakangan ini sering menerima aduan daripada pengguna berkaitan sindiket penipuan dalam talian (scam) yang menawarkan minyak masak paket.

Penjualan dilakukan samada melalui laman sosial atau tapak pasar dalam talian bertujuan memperdaya mangsa untuk mendapatkan bekalan dan turut dikesan menawarkan dengan harga yang lebih murah.

Sehubungan itu, KPDN telah menumpukan usaha berterusan memantau aktiviti penjualan minyak masak dalam talian dengan menubuhkan unit khas di Bahagian Penguat Kuasa bagi tugasan pemantauan aktiviti tersebut.

“Unit ini akan menjalankan pemantauan dan menganalisis data berkaitan bagi tujuan penguatkuasaan.

“Modus operandi aktiviti scam penjualan minyak masak adalah dengan memperdaya mangsa dengan menggunakan laman media sosial atau pasar dalam talian, “ kata Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, sindiket dikesan menawarkan minyak masak untuk dijual dan terdapat iklan umpanan dengan menawarkan dengan harga yang lebih murah dari pasaran memandangkan barangan tersebut mendapat permintaan yang tinggi.

Pada tahun 2024, satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 hasil tindakan proaktif yang dilaksanakan telah diambil pada 9 Januari 2024 kerana berurusniaga barang kawalan tanpa lesen yang sah, ujar beliau.

Katanya lagi, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 4 Julai 2022 sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 62 pemeriksaan fizikal telah dilakukan di seluruh negara.

Manakala sebanyak sebelas 11 aduan yang berkaitan telah diterima dalam tempoh yang sama, katanya.

“Daripada jumlah itu, sebanyak tiga tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah diambil dan disiasat ke atas pihak yang terlibat yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian,” ujar beliau.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah berurusniaga barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.

Beliau berkata, KPDN juga telah bekerjasama dengan pengendali tapak pasar secara dalam talian dalam negara bagi memastikan aktiviti scammer serta penyelewengan minyak masak yang dilakukan secara dalam talian ini dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Hasilnya, kata beliau, sebanyak 198 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun (content removal) dalam tempoh yang sama.

“KPDN ingin memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual secara dalam talian,” katanya.

Pengguna juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam melihat tawaran iklan pembelian minyak masak paket murah yang dipaparkan kerana keadaan ini memberikan kelebihan kepada scammer untuk memperdaya mangsa-mangsa mereka.

“Tindakan pantas sekiranya masyarakat pengguna mengesan aktiviti sebegini adalah dengan menyalurkan pertanyaan dan aduan kepada KPDN,” katanya. – SM

BACA Kad pengenalan khas beli untuk beli minyak masak peket diperkenalkan 2024

BACA Harga minyak masak sawit dalam botol kekal

(Visited 67 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button